Solusi agihan vaksin dimuktamadkan minggu hadapan: KKM

Iklan
Bekalan vaksin Covid-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini. Gambar kecil: Noor Azmi

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 bakal memuktamadkan solusi pengedaran dan strategi penerangan Program Imunisasi Covid-19 kepada rakyat selewat-lewatnya minggu hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program imunisasi terbesar negara itu bakal dilaksanakan melalui tiga fasa, satu mesyuarat khas bagi memuktamadkan strategi penerangan dan agihan bekalan vaksin Covid-19 perlu diadakan dengan kadar segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil keputusan mesyuarat jawatankuasa itu penting bagi memastikan inisiatif pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada 26.5 juta rakyat, atau mencakupi 80 peratus populasi negara bagi membentuk imuniti berkelompok, dapat dilaksanakan secara efektif, sistematik dan lancar.

"Kita menyedari keghairahan rakyat dan pemain industri yang mahukan bekalan itu diagihkan segera. Namun jumlah bekalan vaksin Covid-19 yang bakal diagihkan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah terbesar dalam sejarah negara dan sangat penting.

Iklan

"Jadi memang keperluan kerajaan merangka satu strategi mampan dari aspek mobiliti pengedaran dan kawal selia bekalan vaksin serta strategi penerangan berkesan kepada rakyat secara terperinci.

"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Covid-19 yang diwakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (Mosti) mahu memuktamadkan dahulu kaedah pengagihannya sebelum dijelaskan kepada orang awam,” ujarnya.

Iklan

Pada Khamis, Muhyiddin melalui ucapan perutusan khas mengumumkan kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

Beliau berkata, sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Muhyiddin turut menegaskan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama adalah membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan; fasa kedua melibatkan golongan warga emas dan golongan rentan serta fasa terakhir adalah golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Tempoh masa pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini dijangka mengambil tempoh masa setahun, bermula hujung bulan Februari 2021 sehingga bulan Februari 2022.