AS tamat sokongan ke atas perang di Yemen

Iklan
Perang di Yemen telah mengakibatkan lebih 230,000 orang terbunuh sejak ia bermula pada tahun 2014. - Foto AFP

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Khamis bertindak menamatkan sokongan ke atas Arab Saudi yang melancarkan perang di Yemen, sekali gus mengubah dasar luar negara AS di rantau Arab.

Dalam ucapannya berhubung dasar asing AS, Biden turut membekukan rancangan bekas Presiden negara itu, Donald Trump untuk mengurangkan bilangan tentera di Jerman dan berikrar akan menggunakan pendekatan keras terhadap ancaman autoritarian dari China serta Rusia.

Iklan
Iklan

"Perang ini (Yemen) perlu ditamatkan," kata Presiden AS itu.

Dalam satu ucapan di bilik Benjamin Franklin di Rumah Putih, Biden berkata, AS akan menamatkan semua sokongan termasuk penjualan senjata untuk digunakan dalam perang di Yemen yang diketuai Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain.

Iklan

Menurutnya, perang tersebut telah mencetuskan bencana kemanusiaan.

Beliau turut melantik Timothy Lenderking sebagai Utusan Khas AS ke Yemen iaitu seorang diplomat veteran.

Iklan

Biden berkata, Lenderking akan menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencapai satu gencatan senjata dan memulihkan rundingan damai antara kerajaan dan para pemberontak Houthi yang mengawal kebanyakan wilayah di Yemen termasuk ibu negaranya, Sanaa.

Sebelum ini, Trump menganggap perang di Yemen itu sebagai cara untuk menyerang balas kumpulan Houthi iaitu sekutu Iran yang juga dianggap sebagai musuh AS.

Perang di Yemen yang bermula pada tahun 2014 antara kerajaan Yemen yang diiktiraf oleh PBB dengan kumpulan pemberontak Houthi telah menyebabkan lebih 230,000 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.

Biden juga membekukan rancangan bekas Presiden AS itu untuk mengurangkan bilangan askar di Jerman setelah Trump dilihat membuat keputusan berkenaan berikutan hubungannya yang tegang dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Merkel sebelum ini mengalu-alukan kedatangan pelarian Syria ke negaranya manakala bekas Presiden AS itu pula antimigran yang bukan Barat.

Biden juga berikrar akan meneruskan dasar Trump yang keras terhadap China dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mana beliau sebelum ini dikagumi oleh Trump. - Agensi