PKPS agih 52,000 ayam subsidi

Iklan
Juwairiya (dua dari kanan) dan Mohamad Khairil (kanan) mengagihkan ayam percuma pada Program Bantuan Bakul Makanan Nelayan.

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah mengagihkan sebanyak 52,000 ayam subsidi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara berperingkat bermula awal tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, sehingga kini sebanyak 4,000 ayam subsidi telah diagihkan di empat DUN di Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKPS, PKPS Prihatin bermula di DUN Sungai Tua, Pandan Indah, Batu Tiga dan Bukit Melawati.

Orang ramai membeli barangan segar yang dijual PKPS menerusi program ‘Food Truck’ Selangor Agro Market.

Iklan

"Program Ayam PKPS Prihatin ini akan diuruskan dengan kerjasama petugas di setiap pusat khidmat dan penyelaras DUN Selangor,” katanya pada Program Bantuan Bakul Makanan Nelayan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati di sini pada Jumaat.

Mohamad Khairil berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan rakyat Selangor mendapat akses secukupnya untuk makanan segar pada harga yang berpatutan.

Iklan

"Kami mempunyai ladang ternakan ayam di Ulu Tinggi, Bestari Jaya yang mampu mengeluarkan sebanyak 550,000 ekor ayam dan mengambil masa selama 32 hari pada setiap pusingan,” katanya.

Menurutnya ladang ayam itu mula beroperasi sejak tahun 2017 dan mengeluarkan hasil produktif sejak tahun ini.

"Inilah masa terbaik untuk rakyat menikmati hasil yang diusahakan PKPS. Keuntungan pengeluaran ayam ini kita pulangkan semula kepada rakyat terutama mereka yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, PKPS juga menggerakkan beberapa inisiatif lain, antaranya program ‘Food Truck’ Selangor Agro Market yang menjual barangan segar seperti ikan dan daging.

"Kami juga menjual barang kering seperti tepung, gula, garam, minyak dan produk hasil daripada Selangor Fruits Valley,” katanya.

Beliau berkata, harga barangan makanan segar yang ditawarkan melalui lori bergerak PKPS lebih murah sebanyak 30 peratus berbanding harga pasaran bagi meringankan beban pembeli.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan harian, malah mereka tidak perlu bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan barangan segar di Wisma PKPS di Seksyen 14, Shah Alam.

"Kami merancang untuk membuka sebuah lagi pusat jualan hasil produk pertanian dan barangan segar di Meru, Klang dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Juwairiya (kanan) dan Mohamad Khairil bergambar bersama 'Food Truck’ Selangor Agro Market yang menjual barangan segar pada harga 30 peratus lebih murah.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, pihaknya turut membuka peluang kepada usahawan yang memiliki lori atau van untuk menjalankan perniagaan produk PKPS.

Menurutnya, iklan mengenai tawaran itu telah dibuka dan sehingga kini seramai 20 hingga 30 usahawan menyatakan minat untuk menyertai projek lori bergerak tersebut.

"Usahawan akan dibekalkan produk dari ladang PKPS untuk dijual kepada penduduk setempat.

"Kami akan menampal pelekat tertera logo perkhidmatan sebelum individu yang dipilih ini boleh beroperasi secara bergerak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyambut baik inisiatif dilakukan PKPS bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan.

"Pujian harus diberikan kepada PKPS yang telah mengambil inisiatif seperti ini untuk turun padang dan menyampaikan bantuan kepada masyarakat.

"Pada hari ini, PKPS memberikan bantuan bukan sahaja subsidi ayam tetapi turut menyediakan lori PKPS prihatin yang menawarkan 30 peratus harga hasil pertanian pada harga lebih rendah kepada penduduk di Kuala Selangor,” katanya.

Norizan Makmur, S Rajeswari

Sementara itu, suri rumah, Norizan Makmur, 31, berkata, dia bersyukur kerana berpeluang menerima bantuan ini yang dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada kami terutama ketika tempoh PKP.

Bagi suri rumah, S Rajeswari, 42, pula, dia berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia sangat membantu penduduk terutama bagi mereka yang mempunyai tanggungan anak yang ramai.