MELAKA United FC (MUFC) menafikan khabar angin yang mengaitkan perpindahan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, berita yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu itu tidak benar.
Sebaliknya, beliau berkata, penjaga gol berusia 32 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Apek telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun sehingga 2022 baru-baru ini.
Mohd Saiful berkata, pengesahan berkenaan diharap dapat memberikan jawapan terhadap segala spekulasi yang mengaitkan perpindahan pemain berkenaan ke beberapa pasukan sebelum ini.
"Ini (perpindahan Apek ke JDT) adalah berita palsu. Kami tidak pernah menerima sebarang surat rasmi atau dihubungi mana-mana pihak dari JDT untuk mendapatkan Apek.
"Begitu juga dengan pasukan-pasukan lain, tiada sebarang tawaran dibuat. Apek akan terus bersama kami dan berita mengenai perpindahannya adalah tidak benar.
"Saya juga tidak tahu menahu tentang (bekas kapten MUFC) Safiq Rahim. Kontraknya telah tamat, sama ada dia kembali ke JDT atau mahu terlibat dengan kelab (Liga) M3, itu saya tidak pasti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas mengenai persiapan MUFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Mohd Saiful berkata, pihaknya kini dalam usaha mendapatkan khidmat penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic.
"Pemain terbabit akan tiba ke Melaka dalam masa terdekat. Sehingga hari ini kami difahamkan, Nikolic sedang menguruskan perjalanannya ke negara ini,” katanya.