Macam dah tahu perjalanan 'terakhir'

Iklan

KUALA TERENGGANU - Status dimuat naik Abdul Bari Asyraf Mohd yang dianggap sebagai wira penyelamat mengundang rasa sedih netizen.

Malah, kebanyakan warganet mengakui kagum dengan pemuda itu dan turut bersedih dengan insiden yang menimpa walaupun tidak mengenalinya secara dekat.

Iklan
Iklan

Menggunakan nama pena sebagai Pok Rok, laman facebooknya menjadi perhatian ramai selepas berita kehilangannya mendapat liputan meluas.

Abdul Bari hilang dari permukaan air setelah menyelamatkan mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu.

Iklan

Status yang dimuat naik Allahyarham pada 5 Disember lalu, 'selamat tinggal kenangan dengan senyum aku lepaskan kau pergi' seolah-olah menggambarkan pemuda itu telah mengetahui apa yang bakal terjadi kepada dirinya.

Selain itu, pemuda itu juga pernah menyatakan hasrat untuk berada dalam kalangan orang-orang beriman ketika menjawab pertanyaan rakannya menerusi media sosial.

Iklan

Walaupun mungkin dianggap sebagai satu jenaka, jawapan spontan itu meninggalkan kesan mendalam lebih-lebih kepada individu yang mengenali Abdul Bari.

Wira itu juga disifatkan sebagai seorang yang suka bergurau, agak nakal dan suka menolong.

Abdul Bari bercita-cita mati syahid

Ahli keluarga dan rakan terdekat turut berkongsi antara hasrat Abdul Bari untuk mati syahid.

Perkongsian oleh Tengku Nadia Tengku Ahmad menceritakan bahawa Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk mati syahid 14 tahun lalu, ketika masih dibangku sekolah.

Selain Tengku Nadia, bapa saudara Abdul Bari yang menggunakan nama pena Pok Kob juga meluahkan perkara yang sama.

Katanya, beliau pernah berbual bersama dan Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk syahid di jalan ALLAH.

Sementara, itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah yang mengimamkan solat jenazah Allahyarham semalam, menyifatkan kematian Abdul Bari sebagai luar biasa.

Menerusi status yang dimuatnaik malam tadi, beliau menganggap Abdul Bari sebagai seorang individu yang istimewa.

Manakan tidak, masjid dua tingkat di Kampung Gelang Patah, Wakaf Mempelam sesak dipenuhi jemaah yang ingin menunaikan solat jenazah Allahyarham, petang semalam.

"Solat jenazahnya seperti solat jumaat. Memenuhi dua tingkat masjid. Sungguh luar biasa.

"Begitulah kehendak ALLAH, ketika hidupnya dia hanyalah biasa biasa saja tapi ketika matinya ia dijadikan luar biasa oleh ALLAH SWT," katanya.

Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf, 31, hilang selepas menyelamatkan lima penumpang Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu, di Pulau Warisan.

Jasad Allahyarham ditemui jam 7.24 pagi semalam di sekitar muka kuala tanjung, pada jarak 2.5 km daripada lokasi dipercayai lemas.