JERLUN - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah belum mendapat perkembangan terkini sekiranya berlaku pertukaran antara negeri melibatkan Nur Farhana Ibrahim, 27, yang hilang bulan lalu.
Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, ketika ini JPN Kedah tidak mempunyai hak untuk campur tangan berkaitan isu berkenaan.
Katanya, kes ustazah ini juga di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) yang berurusan dengan JPN Pulau Pinang.
"Sekiranya selesai urusan antara kedua-dua pihak terbabit dan berlakunya pertukaran ke Kedah, barulah kami akan terima.
"Insya-ALLAH kami akan cuba tempatkan ustazah berkenaan di mana-mana sekolah yang sesuai dengannya,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Pakaian Sekolah Bagi Pelajar Terpilih Parlimen Jerlun di Dewan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, semalam.
Pada 14 Januari lalu, guru Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau tersebut dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Langgar, Alor Setar seperti kebiasaan.
Bagaimanapun, Nur Farhana dijumpai di Kuala Kangsar, Perak dalam keadaan selamat tiga hari kemudian namun sukar mengingati perkara yang berlaku sepanjang kehilangannya dan hanya bermalam di surau untuk merehatkan diri.
Terdahulu, Dr Salmee yang juga ADUN Kota Siputeh menyampaikan beg sekolah dan baucar kepada 600 pelajar terpilih dalam Parlimen Jerlun.