PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berharap kesebelasan The Reds dapat memberikan aksi terbaik bagi melayan kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City di Anfield, awal pagi Isnin ini.
Menurut Klopp, berdasarkan kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini yang menyaksikan City tewas tiga kali dan seri sekali daripada empat aksi di Anfield sebelum ini.
Katanya, skuad kendalian Pep Guardiola itu hampir mencatatkan kemenangan ketika berkunjung ke Anfield pada Oktober 2018 lalu, namun kegagalan Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86 menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati terikat tanpa jaringan.
"Pada perlawanan itu saya fikir mereka akan menang menerusi sepakan penalti berkenaan kerana ia berlaku pada saat-saat akhir perlawanan.
"Begitu juga dengan pertemuan terakhir dengan City pada November 2020 lalu (di Etihad), kita juga terikat 1-1 yang turut menyaksikan Kevin de Bruyne juga gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada pada separuh masa pertama.
"Namun, kita dapat menurunkan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino dan Diogo Jota dalam kesebelasan yang sama dan ini menjadikan persembahan pasukan begitu baik sehingga ke penghujung perlawanan,” katanya.
Liverpool kini berada pada kedudukan keempat EPL dengan 40 mata hasil 11 kemenangan, tujuh seri dan tewas empat kali daripada 22 perlawanan.
Sementara itu Klopp berkata, ketiadaan penonton menyaksikan perlawanan berkenaan diharap dapat memberikan kelebihan buat The Reds untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan berkenaan.
Justeru katanya, kesebelasan The Reds diharap dapat memanfaatkan situasi berkenaan bagi mencatatkan kejayaan kali ini.
"Sejak penonton dilarang memasuki stadium, kami sudah mula membiasakan diri dengan keadaan itu.
"Oleh itu diharapkan perkara sedemikian dapat memberikan kelebihan buat kami mencatatkan kejayaan ketika berdepan City,” katanya.