604 pekerja kilang ayam Jasin positif Covid-19

Iklan
Sebahagian pekerja asing di sebuah kilang memproses ayam di Serkam,Jasin beratur panjang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada Sabtu.

JASIN - Seramai 604 pekerja sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam di sini, disahkan positif Covid-19 selepas 1,817 pekerja kilang tersebut membuat ujian saringan Covid-19 bermula 1 Februari lalu hingga semalam (Jumaat).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia bermula dari seorang pekerja yang bergejala sebelum menular kepada pekerja lain termasuk pekerja tempatan dan warga asing sehingga wujudnya Kluster Industri Serkam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka yang disaring termasuk 443 pekerja tempatan manakala 1,428 lagi adalah pekerja asing selain pekerja dan penduduk berdekatan kilang tersebut turut diminta untuk melakukan saringan.

"Setakat ini kita telah menempatkan individu positif yang bergejala di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk menerima rawatan selanjutnya.

Iklan

" Bagi pekerja asing yang positif namun tidak bergejala akan dikuarantin di asrama dan kakitangan jabatan kesihatan akan terus melakukan pemantauan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr.Adham berkata, seramai 154 penduduk tempat yang telah disahkan negatif namun mempunyai kontak rapat turut diarahkan kuarantin di rumah dan akan dipantau oleh CAC Kesang Tua dan Parit Gantung, Jasin.

Katanya, pergerakan pekerja ladang berhampiran juga akan dikawal ketat bagi memastikan bilangan positif kluster itu tidak terus meningkat.

"Kilang ini juga telah diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial selain menempatkan pekerja dalam keadaan sesak. Jadi penutupan ini adalah untuk kita mencegah dan mengawal penularan kes kluster ini," katanya.