ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kedah akan menyiasat dakwaan sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit antara Kulim dan Baling terutama Gunung Inas telah dibangunkan sebagai ladang durian musang king terbesar di dunia seperti didakwa seorang lelaki dalam sebuah video tular.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, difahamkan ia merupakan video lama yang kembali ditularkan sebelum arahan berhenti kerja dibuat pada Julai 2020.
Menurutnya, pihaknya telah menangani masalah itu tahun lalu.
"Saya tidak kenal sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas tahun 2013 atau syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal.
"Saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula. Saya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terbabit daripada semua agensi terbabit. Tindakan berikutnya akan dibuat berdasarkan laporan-laporan itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Melalui video tersebut, seorang lelaki dilihat mendakwa kawasan Gunung Inas akan menjadi ladang durian terbesar dengan 500 anak pokok musang king sudah ditanam selain memiliki 550,000 anak pokok untuk keseluruhan ladang.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas mengambil alih jawatan Menteri Besar Mei lalu, beliau telah mengarahkan kerja penanaman durian di Gunung Inas dihentikan setelah ia menyebabkan banjir lumpur di beberapa kampung berdekatan.
"Dasar kita jelas, peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi dan kepentingan rakyat mesti didahulukan.
"Projek ladang hutan mesti ditanam spesies dibenarkan Jabatan Perhutanan, durian tidak termasuk spesies itu. Namun, Jabatan Perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan diluluskan untuk ditanam spesies buah-buahan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya difahamkan ketika itu dilaporkan sebanyak 809 hektar sudah ditanam durian musang king.
"Bagaimanapun arahan telah dikeluarkan pada Julai 2020 untuk hentikan tanam durian musang king dan kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah diluluskan manakala tanah yang gondol ditanam dengan tanaman tutup bumi untuk elak hakisan,” katanya.