GEORGETOWN - Seramai 11 individu dikompaun masing-masing RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika berada di Pasar Awam Batu Lanchang di sini pada Jumaat.
Kesemua mereka dikenakan tindakan itu ketika pemantauan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).
Pemantauan turut dibantu empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pengerusi Persatuan Penjaja Batu Lanchang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemantauan selama tiga jam bermula jam 2 petang itu mendapati ramai pengunjung dan penjual pasar tidak melakukan imbasan suhu dan menggunakan aplikasi MySejahtera.
"Selain itu, laluan di pintu parkir dan tempat memuat barang ke dalam pasar juga tidak menyediakan kemudahan peralatan pengimbas MySejahtera.
"Pengunjung pasar juga didapati boleh bebas keluar masuk ke pasar melalui pintu 'shuttle' di sebelah kiri, kanan dan belakang tanpa pengimbasan MySejahtera," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, selain kompaun, lima laporan polis dibuat iaitu tiga mengikut Akta Imigresen manakala dua lagi mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Pengkompaun Kesalahan-kesalahan) 2021.
"Satu laporan polis dibuat membabitkan kesalahan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja tanpa permit yang sah, dua di atas kesalahan Akta Imgresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Dua laporan lagi mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan PPPB 2021 iaitu membabitkan warga asing yang tidak membuat pengimbasan MySejahtera atau tidak mencatat butiran di dalam buku," katanya.
Soffian berkata, polis turut mengeluarkan 27 saman trafik di atas pelbagai kesalahan ketika pemantauan dilakukan.
"Kita telah memaklumkan kesemua kelemahan yang dikenal pasti kepada pihak pengurusan, inspektor kesihatan awam MBPP dan Pengerusi Persatuan Penjaja Batu Lanchang untuk diperbaiki segera.
"Pemantauan seperti ini akan dijalankan di pasar awam lain dari masa ke masa bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP PKP yang ditetapkan," katanya.