SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menghentikan sesi persekolahan bagi pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SPMV) bermula 9 Februari ini.
Beliau berkata, ramai pelajar dan ibu bapa risau calon kurang bersedia untuk menduduki peperiksaan besar itu pada 22 Februari ini.
"Sekolah ditutup semula pada 9 Februari dan pelajar disuruh bersedia kendiri sebelum mengambil peperiksaan kurang dua minggu kemudiannya iaitu pada 22 Februari 2021.
"Ini bermakna mereka cuma ada peluang menghadiri 14 hari sekolah dalam tempoh lebih tiga bulan yang lalu sebelum peperiksaan bermula.
"Peperiksaan percubaan pula hampir empat bulan lalu. Jadi, adakah 15 hari ke sekolah dalam tempoh tiga bulan lalu merupakan persediaan yang cukup bagi mereka untuk menghadapi SPM/SPMV?
"Apakah logiknya KPM suruh budak-budak untuk hadir sekolah selama 14 hari lalu ditutup selama 14 hari sebelum peperiksaan?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu menggesa Lembaga Peperiksaan Malaysia memikirkan jalan penyelesaian seiring dengan normal baharu memandangkan negara kini sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.
Dalam pada itu, Najib turut mencadangkan peperiksaan berkenaan ditangguhkan selama dua minggu lagi supaya pelajar boleh mengikuti kelas tambahan secara fizikal selepas cuti umum Tahun Baharu Cina sebagai langkah persediaan.
"Ataupun pengajaran dan bimbingan diberikan secara online sehingga peperiksaan bermula jika peperiksaan tidak dapat ditangguhkan lagi memandangkan cikgu dan pelajar sudah lama berehat.
"Malah cuti Tahun Baharu Cina kali ini ketika rentas negeri dilarang, jadi tidak perlu begitu panjang,” katanya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim pada Jumaat memaklumkan, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.
Kenyataan itu dibuat dalam satu pekeliling bertarikh 4 Februari lalu, ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah KPM.
"KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari 2021.
"Ini adalah bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari 2021,” katanya.