PERSATUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memantau rapat perkembangan semasa jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang yang kini giat menjalani latihan di Melbourne, Australia sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.
Setiausaha Agung PKBM Datuk Ashakari Abu Noor berharap dengan latihan, semangat tinggi dan disiplin yang ada pada Azizulhasni mampu menterjemahkan prestasi terbaiknya pada temasya itu nanti.
Iklan
Iklan
Azizulhasni, 33, layak ke Olimpik Tokyo melalui acara kegemarannya iaitu keirin serta acara pecut individu dan temasya itu merupakan penampilan keempat beliau selepas layak ke Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 di mana beliau memenangi pingat gangsa bagi acara keirin.
Sementara itu, Ashakari berkata atlet kini menghadapi cabaran untuk meneruskan latihan selain terikat dengan prosedur operasi standard (SOP).
"Buat masa ini kita meminta semua persatuan negeri memantau pergerakan atlet masing-masing walaupun latihan hanya dilakukan secara individu," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sanitasi Masjid anjuran Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka bersama Wanita Muda Kota Melaka di Masjid Laksamana Hang Tuah, Duyong di sini hari ini. - Bernama