Bekalan minyak masak dalam pasaran negara stabil

Iklan
Kenyataan akhbar oleh KDPNHEP pada Sabtu.

SHAH ALAM - Bekalan minyak masak bagi pasaran negara masih berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau amat berpuas hati dengan tinjauan dan pemeriksaan yang dilakukan oleh KPDNHEP di seluruh negara berkaitan keadaan semasa bekalan minyak masak negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada lapangan, kejadian kekurangan minyak masak yang berlaku di sesebuah kedai runcit adalah bersifat sementara dan berlaku disebabkan kehabisan stok oleh peruncit yang sedang menunggu penghantaran daripada pemborong.

"Hari ni saya berserta beberapa pegawai kanan dan penguatkuasa KPDNHEP telah mengadakan lawatan di sebuah kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil Selangor.

Iklan

"Tujuan lawatan ini adalah untuk saya sendiri turun padang meninjau dari dekat bekalan dan proses pengeluaran minyak masak sawit dari ladang ke kilang dan dari kilang ke pemborong serta peruncit.

"Hasil tinjauan hari ini dan pemeriksaan di Bandar Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini, saya sangat berpuas hati bahawa bekalan minyak masak peket polibeg 1kilogram (kg) amat mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Alexander berkata, KPDNHEP telah mendapat mandat dan peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan program bersifat ‘People-Centric’ yang mana salah satunya adalah menyediakan subsidi minyak masak peket polibeg pada harga kawalan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Katanya, sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun jumlah minyak masak subsidi yang diperuntukkan dalam bentuk peket polibej 1 kg.

"Ini bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun. Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8kg sebulan atau 22kg setahun untuk setiap rakyat termasuk kanak-kanak.

"Terdapat sebanyak 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus minyak masak negara. Bagi tahun 2020, jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi adalah sebanyak 1.8 juta metrik tan setahun,” katanya.

Bagaimanapun, Alexander berkata, sebagai langkah sementara, KPDNHEP telah melaksanakan Arahan Penetapan Had Pembelian Minyak Masak Polibeg 1kg di peringkat peruncit bermula 19 Januari 2021 di mana setiap pengguna hanya tiga peket polibeg 1kg untuk setiap pembelian.

Menurutnya, langkah tersebut diambil berdasarkan maklum balas daripada pengguna di lapangan di mana permintaan untuk minyak masak bersubsidi telah menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir kerana terdapat pengguna membeli lebih daripada keperluan dan menyebabkan kehabisan stok di sesebuah premis peruncit.

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapit menyeru kepada pengguna supaya menggunakan aplikasi ‘mobile Price Catcher’ untuk mengetahui premis peruncit yang mempunyai bekalan di sesebuah lokaliti.

"Contoh di Bandar Muadzam Shah itu membuktikan ketiadaan di sesebuah premis peruncit bukan bermakna bekalan terputus, malah bekalan masih banyak di lebih dari tiga premis peruncit di bandar tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Alexandder turut memaklumkan bahawa pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara sentiasa membuat pemeriksaan setiap hari bagi memastikan barang keperluan asas sentiasa stabil dan mencukupi.

Menurutnya, bermula dari 1 Januari sehingga 4 Februari 2021, sebanyak 103,906 premis telah diperiksa termasuk sektor pengilangan, pembungkusan, pemborongan dan peruncitan minyak masak di seluruh negara.

"Pada tahun 2020, hanya 79 kes telah dihasilkan melibatkan penyelewengan minyak masak dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM664,856,000.

"Dari 1 januari sehingga 4 Februari 2021, di bawah OPS RANTAI 7.0, sebanyak 35 premis yang terdiri daripada 12 premis pengilang dan 23 premis syarikat pemasaran am minyak masak telah diperiksa.

"Daripada operasi tersebut, sebanyak 31 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan 26 Notis bertulis dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.