Maritim tahan enam penembak ikan di Kuala Kedah

Iklan
Enam individu ditahan kerana memiliki dan membawa senapang angin yang digunakan untuk menembak ikan di Kuala Kedah pada Jumaat. Foto Maritim Malaysia.

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot pancing yang dinaiki enam individu kerana memiliki dan membawa peralatan senapang angin yang digunakan untuk menembak ikan pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mereka ditahan di kedudukan 4.5 batu nautika Barat Daya Muara Kuala Kedah pada jam 6.40 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot tersebut dikesan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam individu tempatan berusia di antara 22 hingga 53 tahun berada di atas bot tersebut.

Iklan

"Mereka didapati memiliki dan membawa senapang angin yang digunakan untuk menembak ikan," Katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Peralatan menembak ikan yang dirampas oleh Maritim Malaysia.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 474(1) iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah serta gagal mengemukakan dokumen insurans.

Iklan

Menurutnya, enam individu tersebut juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1)(c) iaitu membawa atau memiliki senapang angin di dalam perairan perikanan Malaysia.

"Seorang daripada individu yang ditahan juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki satu set peralatan dan disyaki menghisap dadah jenis syabu," katanya.

Katanya, bot dan semua individu yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut, manakala tahanan yang bersabit dengan penyalahgunaan dadah diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Komuniti maritim diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar peraturan yang telah diperuntukkan. Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” katanya.