PUTRAJAYA - Malaysia akan berbincang dengan Indonesia untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata ini selaras dengan gesaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerangka Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutamanya Malaysia dan Indonesia.
CPOPC telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan industri sawit.
"Saya akan berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Mohd Khairuddin berkata, Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan Indonesia untuk menentang aspek diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak.
Malah, tegasnya, Malaysia dan Indonesia yang masing-masing merupakan negara pengeluar pertama dan kedua terbesar komoditi itu di dunia, juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan serta memelihara industri sawit kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian turut menyambut baik gesaan perdana menteri dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta pada Jumaat untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara bagi menentang diskriminasi minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain.
Menurut Mohd Khairuddin, dua pemimpin tersebut juga menzahirkan kebimbangan mengenai kempen antiminyak sawit yang tidak berasas, tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara serta bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Pada pertemuan itu juga, Muhyiddin telah memaklumkan bahawa Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU menerusi WTO pada 15 Januari lepas, sama seperti tindakan Indonesia pada Disember 2019. - Bernama