GEORGETOWN - Seorang lelaki parah selepas dipercayai ditikam menggunakan botol kaca di bahagian leher dalam kejadian di Jalan Kuantan di sini pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa berusia 51 tahun itu parah di leher sebelah kanan dan kini dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang (HPP).
Iklan
Iklan
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan terlibat dengan pergaduhan dengan seorang lelaki di lokasi tersebut sebelum dia ditikam menggunakan botol kaca.
"Punca kejadian yang berlaku pada jam 3.17 petang itu masih disiasat dan suspek sudah dikenal pasti. Usaha mengesannya sedang dijalankan. Mangsa dilaporkan stabil dan sedang dirawat.
"Mangsa yang berasal dari Bedong, Kedah itu mempunyai lapan rekod lampau melibatkan satu kes jenayah dan tujuh kes dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan.
Mangsa bagaimanapun dibawa ke HPP dengan menggunakan ambulans selepas orang awam menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.