Malaysia, Indonesia setuju wujud laluan hijau tingkat perdagangan

Iklan
Muhammad Shahrul Ikram

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia telah bersetuju secara prinsipnya untuk melaksanakan skim laluan hijau timbal balik (RGL) bagi meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, perancangan itu memerlukan susulan lanjut bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan.

Iklan
Iklan

"Ini perlukan susulan terutamanya bagi Malaysia bagaimana untuk memperketat SOP sedia ada. Ini akan dilaksanakan apabila kedua-dua pihak kesihatan Malaysia dan Indonesia selesa untuk melaksanakan,” katanya menerusi temu bual melalui skype di program Buletin Bernama 1 Tengahari, Bernama TV hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Shahrul Ikram berkata, RGL itu atau di Indonesia dikenali sebagai ‘corridor travel arrangement’ tidak terbuka kepada semua warganegara tetapi bertujuan memudahkan perjalanan pegawai kerajaan serta pelabur dari kedua-dua negara serta mempertingkat perdagangan terutamanya peniaga bernilai tinggi.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia bagi mengadakan pertemuan empat-mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Jumaat.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin negara itu adalah berkenaan isu diskriminasi terhadap minyak sawit.

Iklan

"Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar utama minyak sawit dunia, yang mana dalam konteks Malaysia kita ada 600,000 pekerja dalam industri ini.

"Jika tidak ditangani secara bersama dengan baik kesannya kurang. Jadi kedua pemimpin bersetuju untuk lebih sepakatan untuk memperkukuhkan platform sedia ada seperti melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC),” jelasnya.

Selain itu, katanya, kedua-dua pemimpin tersebut turut membincangkan mengenai isu alam sekitar seperti masalah jerebu dan bersetuju untuk menanganinya secara bersama.

Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa walaupun para pemimpin telah bersetuju ia bukan bermaksud semua masalah selesai tetapi ia memerlukan tindakan susulan di peringkat menteri dan jawatankuasa kerja, ujarnya.

Indonesia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat dunia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Pada 2020, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM66.17 bilion (AS$15.7 bilion) manakala Malaysia merupakan pelabur kedua terbesar di Indonesia sebanyak US$1.04 bilion. - Bernama