ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan kerja-kerja amal ataupun kemasyarakatan perlu melakukannya bukan untuk kepentingan peribadi demi mengelakkan salah guna kuasa atau perbuatan tidak bermoral.
Yang Dipertua Briged Bakti Malaysia (BBM) Kedah, Md Tahir Saad berkata, mana-mana NGO haruslah telus melakukan kerja dan tidak memilih dalam melaksanakan kerja amal mereka.
Md Tahir berkata, tiada sesiapapun akan terpengaruh dan terjebak untuk melakukan perbuatan tidak baik sama ada rasuah, salah guna ataupun lain-lain jikalau memiliki hati yang bersih.
"Jikalau adanya perasaan seperti iri hati, dengki ataupun tamak haloba, maka manusia akan tenggelam dalam kejahatan sehingga sanggup melakukan dalam perbuatan rasuah dan sebagainya.
"Jika, hati mereka bersih dan niat ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan termasuklah kerja amal, maka amalan seperti rasuah pastinya dapat dicegah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurutnya, dia melihat masalah penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang berlaku dalam adalah ujian selain kehadiran pandemik Covid-19 yang perlu diberi perhatian sewajarnya
Katanya, isu penyalahgunaan itu tidak berlaku pada golongan tertentu sahaja, sebaliknya pada sesiapa sahaja tak kira sama ada peniaga, orang politik ataupun rakyat biasa."Bagaimanapun, jikalau hati masing-masing bersih maka kita tidak akan terikut-terikut dengan perbuatan tidak bermoral sedemikian dan kita memang sokongan gerakan untuk membanteras gejala itu.
"Alhamdulillah, sukarelawan BBM Kedah menjalankan amanah dipertanggungjawab dan memiliki hati bersih serta ikhlas untuk membantu masyarakat memerlukan,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.