[WAWANCARA] Ketua gagal punca orang bawah rasuah

Iklan
Wan Mahmood

MASALAH rasuah yang berlaku dalam sektor awam berpunca daripada kesilapan dan kegagalan ketua untuk memimpin kakitangan.

Bagi Presiden Persatuan Pesara Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh, jika ketua memimpin dengan baik, masalah rasuah tidak akan berlaku.

Iklan
Iklan

"Ketika saya bekerja di Kementerian Penerangan, saya sering mengatakan mengenai satu pepatah Inggeris iaitu"There is no bad soldier” atau tidak ada askar yang jahat dan tidak bagus.

"Tetapi ‘jeneral’ yang tak bagus ada,” kata beliau dalam wawancara bersama Sinar Ahad baru-baru ini.

Iklan

Ikuti temu bual pesara kerajaan berusia 91 tahun itu bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa serta wartawan Nurhidayah Hairom dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman.

SINAR AHAD: Boleh kongsikan pengalaman Tan Sri sewaktu berkhidmat sebagai penjawat awam?

Iklan

WAN MAHMOOD: Negara ditadbir oleh British sebelum merdeka. Pegawai British datang ke sini menjadi pentadbir dan selepas tiga tahun saja, mereka akan balik. Mereka tiada kepentingan peribadi mahu buat harta dan sebagainya. Cukup dengan elaun yang mereka terima.

'Jika ketua memimpin dengan baik, masalah rasuah tidak akan berlaku.'

Jadi budaya ini ditanam kepada kita pada waktu itu. Tak ada perasaan untuk mencari kepentingan diri sendiri.

Satu lagi, budaya Inggeris ini apabila membuat keputusan, telus, tegas dan terang. Dibekalkan kita dengan segala undang-undang yang cukup. Ada perintah am, perintah am kewangan dan pekeliling tanah dan pelbagai lagi.

Jadi kita berpandukan arahan-arahan tetap yang bertulis apabila kita membuat keputusan. Kalau kita buat lain daripada apa yang tertulis, kita kena jawab.

Jadi kita selalu berpandu kepada itu untuk membuat keputusan dan apa-apa keputusan dapat disampaikan segera kepada rakyat.

Sebagai pentadbir, kita dapat mainkan peranan dengan baik. Kalau boleh kita bagi, kalau tak boleh pun kita akan maklumkan. Bos tidak campur tangan melainkan berlaku kesalahan. Namun jika dia puas hati kita buat keputusan yang baik, dia akan sokong kita.

Selepas 30 tahun meninggalkan perkhidmatan awam, apakah pandangan Tan Sri terhadap sektor awam sekarang?

Sekarang jika kita lihat secara keseluruhannya, budaya sudah lain. Bos kita ialah orang politik. Kita tahu ahli-ahli politik, kalau boleh mereka nak letak bulan di riba pengundi. Tetapi pegawai kerajaan perlu mengatakan boleh atau tidak boleh.

Tidak mungkin perkara itu dapat dizahirkan kerana pegawai kerajaan memegang prinsip dan undang-undang sedia ada seperti untuk tender, tanah dan lain-lain.

Apabila tiada timbang rasa, tiada hormat-menghormati antara satu sama lain, tibalah pergeseran. Pegawai kerajaanlah yang sering dipersalahkan sehingga hilang semangat bekerja seterusnya melambatkan proses membuat keputusan.

Orang politik pun marah apabila sesuatu permohonan sudah berlarutan terlalu lama, sedangkan pihak yang memohon pula mahu segera. Bila lambat, dia (pemohon) pun mula sogok untuk dapatkan kelulusan.

Jadi dia pun salah. Tetapi salah dan betul tidak ada garis pemisah. Kalau satu benda dianggap salah, tapi apabila ramai yang ikut, ia akan jadi perkara betul. Itulah sebabnya terjadi rasuah. Apa yang dianggap rasuah mungkin tidak dipandang sebagai rasuah lagi.

Menyentuh isu integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa pada era Tan Sri berkhidmat, apakah persamaannya dengan sekarang?

Dulu integritinya disemai daripada pegawai British yang berintegriti tinggi kerana tiada kepentingan diri. Mereka tiada budaya untuk buat harta, cari nama dan sebagainya. Mereka hanya kerja.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa separuh daripada kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam. Mengapakah perkara ini berlaku?

Ibaratnya begini. Seorang nelayan mahu tangkap ikan dengan cara yang mudah, dia tidak mahu gunakan alat yang canggih dan perlukan masa yang lama. Jadi dia keluar di air cetek dan tangguk dua tiga kali sahaja sudah dapat dua tiga kilogram ikan bilis.

Jadi yang banyak ditangkap itu adalah ikan bilis kerana untuk tangkap ikan jerung dan ikan-ikan besar susah, kena pakai alat yang canggih, kena ke laut yang dalam, dan mengambil masa.

Bila dapat tangkap (perasuah) pun sukar untuk dibuktikan. Perasuah pakai peguam dan sebagainya sehingga terlepas. Ada jerung yang kena tangkap pun hanya sesekali berlaku.

Tapi kalau kita timbang ikan bilis yang ditangkap itu beratnya berapa kilogram? Ikan jerung pula berapa kilogram? Rasuahnya berjuta-juta. Ikan bilis ini mahu lari ke mana elak ditangkap? Sebab itu nampak banyak (ditangkap).

Pepatah orang Melayu menyatakan kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari.

Jadi kita pegang pemimpin yang kita pandang tinggi. Kalau dia dah ambil rasuah, anak buah tentu lebih lagi. Jika pemimpin tak ambil rasuah, yang lain pun tak berani.

Ada pihak mengatakan bahawa penjawat awam tidak boleh dipersalahkan sebaliknya masalah rasuah berpunca daripada pemberi rasuah. Apa komen Tan Sri?

Kita kena lihat kenapa dia memberi? Kerana mereka nak capai hasrat seperti yang saya sebut iaitu untuk dapatkan kelulusan segera.

Rasuah sama ada pemberi atau penerima, dua-dua haram. Seperti minum arak bagi umat Islam itu haram. Yang menjadi pelayan pun tetap haram.

Jika bercakap tentang daging haram, heboh semua tidak mahu beli daging. Daging ini kalau makan keluar balik, tapi rasuah yang dimakan menyerap menjadi darah daging anak cucu. Dari segi nilai, pemberi dan penerima dua-dua salah.

Jika isu-isu rasuah dan integriti tidak dihapuskan dalam perkhidmatan awam, apakah kemungkinan yang akan berlaku kepada negara?

Segala kemajuan yang kita angan-angankan akan merudum sebab pelabur asing tidak akan melabur di negara kita. Sebab bila mereka jejak kaki saja kena ‘bayar’. Jejak dua kaki kena ‘bayar’ lagi. Mahu beli rumah kena ‘bayar’. Boleh dikatakan setiap proses mereka perlu ‘bayar’. Jadi siapa yang mahu datang berniaga ke sini?

Jika tidak ada perniagaan dari luar, tiada orang yang nak labur modal di sini, ekonomi kita akan merudum. Kalau rasuah tidak dibanteras, anak cucu kita juga akan membesar dengan menganggap bahawa rasuah itu perkara biasa. Itu akan hancurkan budaya dan negara kita sampai bila-bila. Anak cucu kita akan jadi perasuah, penerima rasuah dan sebagainya.

Sebab itu saya kata penyakit rasuah ini lebih dahsyat daripada Covid-19. Pada akhirnya, negara kita habis terjual.

Apakah usaha-usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini untuk memerangi rasuah mencukupi?

Saya rasa boleh diperbaiki lagi dari segi pelbagai bidang. Antaranya nilai bagi membenci rasuah perlu menyeluruh. Semangat penjawat awam mesti ditingkatkan.

Ketua tak boleh salah. Kalau orang kata anak buah mereka salah, sebenarnya ketua yang bersalah. - Wan Mahmood

Cara menilai penyampaian seseorang pegawai perlu direformasikan. Perlu ada mekanisme yang betul-betul boleh kenal pasti seseorang itu layak naik pangkat kerana jasa kepada rakyat itu tinggi.

Pada saya, cara penilaian sekarang tidak memenuhi apa yang sepatutnya dan masih perlu diperbaiki. Perasaan ini boleh disemai daripada keluarga dan rumah tangga. Kalau keluarga kucar-kacir, pegawai itu pun kucar-kacir.

Jika ada kajian, pada saya ramai orang ambil rasuah adalah akibat tekanan di rumah. Mungkin ada permintaan ahli keluarga yang mahu dipenuhi contohnya isteri yang membandingkan harta benda milik suami dan orang lain.

Berputiknya rasuah kepada pemimpin-pemimpin besar adalah perempuan. Faham-faham sahajalah. Falsafah Cina ada menyatakan ‘jika mahu memimpin negara, pimpinkan keluarga’. Jika nak jadi pemimpin keluarga, kena pimpin diri sendiri. Kerana itu untuk mendidik benci rasuah adalah dari sekolah dan rumah.

Apakah perasaan Tan Sri sebagai seorang bekas penjawat awam apabila melihat ada penjawat awam ditangkap atas kesalahan rasuah?

Saya rasa kecewa, tapi dalam masa yang sama saya juga faham keadaan dilalui mereka sekarang iaitu mereka hilang semangat kerja, hilang perasaan hendak menolong. Mereka cuma bekerja untuk dapatkan gaji.

Jadi ketua mereka mesti beri pengiktirafan atas kebaikan mereka. Jangan jadi macam bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, yang dia kata, pegawai undang-undang semua kerja untuk tunggu pencen sahaja, itu bukan sikap seorang pemimpin pejabat.

Ketua mesti menilai apa yang orang bawahnya buat ketika dia berkuasa. Ketua tak boleh salah. Kalau orang kata anak buah mereka salah, sebenarnya ketua yang bersalah. Sebab ketam tak boleh ajar anak dia jalan lurus, dia jalan senget. Jadi kalau anak buah mereka salah, saya akan salahkan ketuanya.

Ketika saya berkerja di Kementerian Penerangan, saya sering menggunakan pepatah Inggeris yang mengatakan,"There is no bad soldier” iaitu tidak ada askar yang jahat dan tak bagus. Tetapi ‘jeneral’ yang tak bagus ada.

Jadi, kalau ketua pejabat, orang atasan memberi penilaian secukupnya, barulah orang bawah akan bersemangat dan akan bekerja bersungguh-sungguh.

Sebab itu saya rasa perlu ubah mekanisme menilai pegawai yang betul-betul jujur dan betul-betul berhasil dan bukan menilai begitu sahaja.

Sebab penilaian sekarang ini tak menyeluruh. Kadang-kadang ada pegawai yang kedekut bagi markah, dia bagi orang bawah dia markah kurang.

Pegawai yang dia baik, diberi semua bagus. Jadi dua penjawat awam itu gagal memberi penilaian yang sama, tak selaras.

Apakah nasihat Tan Sri kepada pegawai-pegawai kerajaan?

Pegawai kerajaan hendaklah mengikut tahap-tahap pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan tidak boleh mengikut telunjuk bos mereka iaitu menteri.

Sebagai contoh, menteri tidak boleh meminta seseorang itu dijadikan Ketua Setiausaha (KSU). Apabila menteri pilih KSU yang dikehendakinya, KSU tersebut akan mengikut telunjuk menteri sahaja. Apa yang menteri suruh buat, semua dia ikut walaupun salah termasuklah mengampu menteri.

Tugas penjawat awam sepatutnya menunjukkan menteri jalan yang betul. Kalau menteri salah, mereka kena tegur. Itu sebenarnya tugas penjawat awam. Saya pernah suarakan isu ini.

Biar KSU itu dihantar oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) sendiri. Kalau KSU tersebut tak sepadan, menteri boleh suarakan kepada JPA. Tapi kalau dah banyak kali tukar masih sama, itu sebenarnya salah menteri bukan salah KSU tersebut.

Saya rasa kalau menteri memilih siapa yang dikehendaki bekerja di bawah mereka, sudah tentu kementerian tersebut serta dasar kementerian itu akan lingkup. Pegawai awam tak perlu asyik ikut bos sahaja.

Kalau kita lihat, sultan pun tak boleh melantik Menteri Besar sesuka hati mereka. Kumpulan politik kena hantar beberapa nama kepada sultan dan bukan cadangkan satu nama sahaja.

Harapan Tan Sri pada masa hadapan?

Harapan saya ialah beberapa perkara. Pertama, pihak atasan kena berubah, yang bawah akan ikut.

Yang keduanya, JPA perlu fikir mekanisme, kenal pasti penjawat awam yang betul-betul produktif. Yang betul-betul beri khidmat yang terbaik. Pada saya, sistem yang ada sekarang ini boleh ditambah baik.

Ketiga, penerapan nilai antirasuah mestilah menyeluruh. Bermula dari rumah tangga, hingga ke lain-lain organisasi. Ia juga mesti ditangani dengan nada yang sama. Jangan seorang itu lain, seorang lagi pula lain. Nanti semua keliru. Itu prinsipnya.

ANEKDOT

Prinsip berbuat baik, menolong orang

Prinsip saya, setiap hari kena berbuat baik seperti membantu orang. Dalam hadis Nabi ada sebut, ALLAH SWT akan memudahkan kehidupan seseorang yang menolong orang lain. Apabila kita tolong orang jangan separuh jalan, tolong sampai seseorang itu mampu berdikari. Sebagai contoh, seseorang itu lumpuh, dia tak boleh bangun. Jadi kita tolong bangunkan dia.

Ya itu baik tapi tak cukup. Kerana sesudah kita bangunkan dia, lepas itu kita tinggalkan dia, dia akan jatuh, lagi parah. Kita mesti ajar dia mara ke hadapan setapak demi setapak supaya boleh berjalan walaupun sikit.

Jadi tugas seseorang itu bukan sekadar mewujudkan kebaikan, tapi mesti kena pastikan kebaikan itu kekal dan berterusan. Seperti pepatah pernah menyebut, ‘jika kamu beri seekor ikan kepada seorang lelaki, dia akan dapat ikan pada hari itu. Tetapi jika kamu mengajarnya cara menangkap ikan, dia akan dapat ikan sepanjang hayatnya.’

Amal sunnah Rasulullah SAW, hidup sihat

Rahsia saya kekal sihat kerana saya amalkan sunnah Nabi. Bila makan mulakan dengan buah, tidak makan daging dan ikan dalam satu makanan.

Alhamdulillah disebabkan itu, saya boleh makan hampir kesemua makanan. Selain itu, kena bersenam untuk pastikan badan sentiasa sihat. Contohnya, saya pusing keliling rumah lima kali setiap hari. Walaupun sakit lutut, tapi tetap berjalan.

Seterusnya jangan biar otak kosong. Jika kita benarkan otak kita tak buat apa-apa, ia akan beku dan kecut. Kita tak akan kenal isteri satu hari nanti. Jadi, hari-hari saya buat apa sahaja yang saya perlu berfikir.

PROFIL

Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh

Jawatan sekarang: Presiden Persatuan Pesara Malaysia

Umur: 91 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Isteri: Puan Seri Siti Sarah Husin

Anak: 4 orang

Pengalaman:

Ahli Dewan Diraja Selangor (Penasihat kepada Sultan Selangor)

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan

Timbalan Setiausaha Kewangan, Kementerian Pertahanan

Timbalan Ketua Pendaftaran Negara

Penolong Setiausaha Kerajaan Melaka

Pegawai Daerah Sabak Bernam