BAGAN DATUK - Kisah lima beradik di Kampung Sungai Balai Darat di sini yang terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit milik ibu mereka mendapat perhatian Kelab Kebajikan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).
Pengurus Besar Pasak, Mohamad Fikri Mohd Junit berkata, pihaknya mengambil inisiatif bersama Kelab Kebajikan Pasak mengumpul dana untuk menyediakan sebuah telefon pintar dan barangan keperluan bagi meringankan beban ditanggung mereka.
"Seorang ahli keluarga ini iaitu Muhammad Nohadam Mahmud, 20, yang meninggal dunia beberapa hari lalu juga merupakan peserta Program Transformasi Tenaga Kerja (WorkPro) Pasak. Jadi saya berbincang dengan rakan-rakan untuk membantu keluarga ini.
"Alhamdulillah, hasrat kami disempurnakan dan kita berharap sumbangan ini dapat menyelesaikan masalah untuk mereka meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, setakat ini bantuan seumpama itu pertama kali dilaksanakan oleh Kelab Kebajikan Pasak dan akan diteruskan.
Katanya, penyerahan sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Pasak, Afnan Akrabian Azmi di rumah keluarga berkenaan di Kampung Sungai Balai Darat, di sini pada Sabtu.
Mohamad Fikri berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak lain dapat membantu golongan yang memerlukan khususnya bagi tujuan PdPR.
Menurutnya, selain mendapatkan bantuan daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datuk, Kelab Santunan Budi Kinta (KBSK) turut mengutip dana untuk keluarga tersebut.
Dalam pada itu, kisah keluarga tersebut turut mendapat perhatian Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Menerusi hantaran di akaun Facebook pada Sabtu, beliau sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah keluarga berkenaan.
Pada 5 Februari lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah lima beradik terpaksa bergilir-gilir berkongsi menggunakan telefon pintar ibu mereka bagi memastikan tidak ketinggalan dalam sesi PdPR.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima beradik kongsi satu telefon jalani PdPR