GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama 24 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan bantahan mereka terhadap permohonan oleh sebuah syarikat swasta terhadap tanah Kerajaan Kedah seluas 800.9 hektar untuk rancangan pembangunan di Padang Matsirat.
Antara NGO dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang terlibat adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Persatuan Sahabat Wanita Selangor; Yayasan Aman Kedah; Friends of Langkawi Geopark (FLAG), Agora Society Malaysia dan KitaKitar.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, bantahan terhadap permohonan beberapa bidang tanah di Padang Matsirat iaitu di kawasan ‘Break-Water’, Kuala Muda itu telah dinyatakan dalam surat yang diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi pada 2 Februari lalu.
Menurutnya, tanah-tanah tersebut terdiri daripada PT 449 (Utara), Lot 60002/PT 17/Lot 1047/Lot 967 (Timur), Tanah Kerajaan (Laut) (Barat) dan Lot 60012 & PT 1298.
"Kami mendapati permohonan syarikat tersebut ada berkaitan dengan projek penambakan laut seluas 800.9 hektar yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini bersama Widad Business Group Sdn Bhd (WBG).
"Sebarang permohonan tanah yang berkaitan dengan projek penambakan laut tersebut sepatutnya tidak boleh dibenarkan kerana ia adalah pramatang (premature) atas sebab ia masih lagi belum melalui proses undang-undang yang diperuntukkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, sebarang projek penambakan laut wajib mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) mengikut Seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
"Untuk memperoleh nasihat MPFN, cadangan pembangunan tersebut bersama dengan laporan penilaian kesan sosial dan lain-lain laporan wajib disediakan terlebih dahulu.
"Laporan-laporan tersebut juga perlu merangkumi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Jadual Kedua (EIA) yang mana, penglibatan orang awam dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar adalah diperlukan," katanya.
Meenakshi berkata, undang-undang tersebut wajib dipatuhi dan penglibatan awam perlu dilakukan kerana projek penambakan laut dengan keluasan tersebut akan memberi impak negatif yang ketara terhadap alam sekitar.
"Projek ini perlu mengambil kira pelbagai isu, termasuk perubahan iklim, kesan-kesan ke atas ekosistem marin, sektor perikanan dan kesan-kesan sosio-ekonomi yang akan dihadapi oleh nelayan pantai di Pulau Langkawi dan di kawasan sekitarnya.
"Selain itu, kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan Kedah juga perlu diberi perhatian terutama industri pelancongan yang sedang mengalami kemerosotan teruk akibat dari pandemik Covid-19. Amat penting sebelum projek ini diteruskan, analisa faedah dan kos yang terperinci dan proses ulasan orang awam wajib dilaksanakan terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata, ia akan menyelamatkan Kerajaan Kedah daripada mengambil sebarang keputusan yang akan memudaratkan ekonomi, kewangan dan alam sekitar negeri itu.
"Sekiranya permohonan ini dibenarkan tanpa pematuhan proses undang-undang dan penglibatan orang awam, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang.
"Kita mesti mengambil iktibar daripada projek-projek penambakan laut besar-besaran yang telah gagal di negara lain antaranya di Timur Tengah. Oleh itu, untuk memastikan proses pemerintahan yang baik, prihatin kepada pandangan rakyat, kami memohon agar permohonan syarikat swasta tersebut ditolak," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada 20 Januari lalu mengumumkan, Kedah bakal menerima pelaburan domestik dalam sektor pembangunan hartanah eksklusif membabitkan jumlah RM40 bilion dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang daripada syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Widad Business Group Sdn Bhd (Widad Business Group).
Projek yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka itu membabitkan pembangunan komersial berskala besar di Lot 978, Seksyen 4, Bandar Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi dengan 90 peratus daripadanya merupakan lautan.