MELAKA - Tindakan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga 18 Februari ini diyakini tidak akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu bertujuan untuk memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat.
"Memang diakui ada yang tidak suka situasi semasa ini tetapi saya melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin telah melaksanakan tugas dengan penuh bertanggungjawab demi keselamatan semua sepanjang tempoh ini.
"Sukar untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi saya percaya rakyat akan lebih memahami bahawa keputusan yang dibuat adalah demi rakyat dan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skuad Disinfeksi Pemuda PN Melaka di Masjid Cina, di Krubong di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai skuad disinfeksi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, inisiatif tersebut diwujudkan berperanan untuk memastikan keselamatan dan nyawa rakyat negeri ini dalam keadaan baik.
Selain itu, katanya, ia bagi memastikan persekitaran di negeri ini selamat daripada ancaman Covid-19.
Menurutnya, seramai 24 wakil daripada PN Melaka turun padang di kesemua enam kawasan Parlimen di Melaka untuk menjalankan sanitasi di tempat-tempat awam seperti rumah ibadat dan institusi pendidikan.
"Kita juga bersedia menjalankan proses sanitasi di rumah-rumah rakyat yang memerlukan. Contohnya sanitasi di rumah keluarga yang baru sahaja dijangkiti Covid-19 dengan harga yang berpatutan," katanya.