Nelayan menanti perkhabaran gembira Menteri

Iklan
Tengku Zafrul (dua dari kiri) mendengar penerangan Mohd Fadli (dua dari kanan) pada lawatannya ke Jeti Nelayan Kampung Simpang Empat BNO pada Ahad.

SABAK BERNAM - Nelayan di Kampung Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar (BNO) berharap perkhabaran gembira mengenai naik taraf jeti uzur selepas kunjungan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke jeti itu pada Ahad.

Ketua Komuniti Nelayan BNO, Mohd Fadli Rusni berkata, lantai jeti nelayan pesisir pantai yang dibina pada 1984 itu semakin mereput malah sebahagian jeti konkrit yang dibina Jabatan Perikanan pada tahun 2012 pula pernah runtuh sepanjang enam meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tengku Zafrul yang meluangkan masa kira-kira 10 minit mendengar keluhan nelayan dapat menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih jeti itu,

"Pada masa ini, terdapat kira-kira 60 nelayan termasuk pengusaha kebun kerang menggunakan jeti berkenaan bagi mendaratkan hasil laut selain membawa barang seperti petrol dan alat menangkap ikan,” kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau berharap, tindakan segera dapat dilakukan bagi memastikan keselamatan nelayan yang menggunakan kemudahan itu setiap hari.

Selain itu katanya, beliau turut memaklumkan kepada Tengku Zafrul berhubung projek kebun kerang seluas 50 hektar yang diusahakan kira-kira 24 penternak di kawasan terbabit.

Iklan

"Penternak kerang di sini mampu menaikkan 100 tan metrik kerang dewasa bagi setiap lot pada setiap musim yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Terdahulu Tengku Zafrul mengadakan lawatan kerja ke 10 tempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.

Tengku Zafrul yang tiba pada jam 9 pagi menziarahi seorang pesakit strok di Kampung Sungai Pulai selain melawat beberapa kawasan sebuah projek tanaman pisang dan penternakan lembu di Kampung Tebuk Jawa dan ternakan kambing di Teluk Rhu.

Menteri itu juga meninjau industri kecil dan sederhana (IKS) bagi projek pembuatan biskut dan kerepek di Parit Baru serta melawat ke pesisir Kampung Sungai Lang yang menjadi hub pendidikan dan pelancongan di DUN Sungai Air Tawar.