KOTA TINGGI - Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga 5 Februari, Malaysia telah menjalankan sejumlah lebih 6.41 juta ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) untuk mengesan jangkitan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peningkatan jumlah kedua-dua ujian tersebut disebabkan langkah kerajaan mewajibkan majikan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing yang digajikan mulai 1 Januari tahun ini.
"Pada tahun 2020, ujian RT- PCR dan RTK- Ag direkodkan sebanyak 3.33 juta manakala bagi tahun ini sehingga 5 Februari, ujian bagi RT - PCR direkodkan 1.18 juta dan RTK- Ag sebanyak 1.89 juta.
"Ini menunjukkan satu jumlah yang tinggi bagi kedua-dua ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh satu bulan lima hari yang telah dilalui sebelum ini," katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Tenggara itu menyaksikan penyerahan Al Quran oleh Sekretariat Wakaf Al-Quran Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Hashim Anang di Balai Raya Taman Kota Jaya di sini pada Ahad.
"Kerajaan cukup serius dengan ujian RT-PCR dan RTK- Ag kerana melalui ujian ini, kita dapat mengesan dengan cepat mereka yang dijangkiti Covid- 19. Selepas mendapat keputusan daripada ujian yang dilakukan langkah seterusnya akan diambil. Bagi kes bergejala, mereka akan ditempatkan di hospital untuk dirawat.
"Kerajaan juga baru- baru ini telah mengumumkan Pusat Penilaian Covid- 19 (CAC) ditubuhkan bagi memantau kes-kes tidak bergejala yang perlu diberikan perhatian sama ada dibenarkan duduk di rumah untuk isolasi sama ada perlu ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)," katanya.
Tambah beliau, kadar kesembuhan Covid-19 yang dilaporkan juga meningkat sekali gus memberi keyakinan langkah yang dilaksanakan untuk menangani dan mengatasi Covid-19 telah dilakukan dengan baik.
Terdahulu pada 21 Disember lalu, semua majikan diwajibkan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan bagaimanapun bagi pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ujian saringan boleh dibuat di klinik yang dilantik oleh Perkeso.