AFC bagi tempoh sehingga 15 Februari

Iklan
Windsor Paul John

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) memberi tempoh sehingga 15 Februari ini untuk semua pasukan memuktamadkan pendirian berhubung jadual baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Tarikh akhir itu juga ditetapkan AFC kepada semua 40 pasukan bertanding membabitkan lapan kumpulan dalam menentukan sama ada ingin meneruskan saingan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Mac ini atau menunda ke Jun.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, tempoh masa itu diberi memandangkan proses membuat keputusan di setiap negara berlainan dan dipengaruhi pelbagai faktor berbeza.

"Hanya selepas mereka tidak dapat membuat keputusan selepas 15 Februari baru kami (AFC) masuk campur, sebelum itu kami beri peluang dan tarikh tutup supaya mereka boleh buat perbincangan dalaman melalui proses tertentu.

Iklan

"Jun tarikh (akhir) muktamad dan ditetapkan FIFA untuk habiskan pusingan kedua dan tarikh pada September digunakan untuk pusingan ketiga. Kami perlu habiskannya pada April 2022," katanya.

Windsor berkata, setakat ini tiada keputusan mengenai venue perlawanan sekiranya saingan ditunda ke Jun, namun AFC bersedia membantu setiap kumpulan dalam memilih negara sebagai tuan rumah bagi perlawanan yang bakal dijalankan secara karnival itu.

Iklan

"Tetapi buat masa ini bukan masa untuk memilih venue untuk perlawanan berpusat, buat masa ini adalah putuskan boleh main atau tidak. Kalau masing-masing tumpu kepada nak jadi tuan rumah, langkah pertama itu susah hendak dicapai," jelas beliau.

Sebelum ini Malaysia, Thailand dan Indonesia menyatakan persetujuan supaya saingan itu ditangguh untuk dijalankan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

"Situasi selepas 15 Februari kami (AFC) akan bertanya kepada pasukan yang tidak memberikan keputusan adakah masih ingin bermain seperti dijadualkan. Jika ya, kami akan minta maklumat berhubung lokasi perlawanan dan sebagainya.

"Kami juga akan berhubung dengan pasukan lawan sama ada mereka boleh bermain atau tidak," kata Windsor.

Mengikut jadual asal, Malaysia akan menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul cadangan perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun. - Bernama