'Kami masih suami isteri'

Iklan
Zalaha (kiri) bersama Ahmad Faris Umar dan Nurin Irdina menunjukkan surat saman yang difailkan keatas pemilik Channel tersebut menerusi Tetuan Hasif Kumar & CO yang diwakili oleh Muhammad Hasif (dua dari kanan).

PASIR MAS -"Kami masih suami isteri," tegas pasangan suami isteri muda yang tular, Ahmad Faris Umar Alwi, 17, dan Nurin Irdina Mohd Muhizan, 16, apabila sebuah saluran di Youtube mendakwa mereka sudah bercerai.

Ahmad Faris Umar berkata, dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas malah dia dan isterinya menjalani kehidupan berumah tangga dengan penuh bahagia seperti pasangan lain walaupun berkahwin di usia remaja.

Iklan
Iklan

"Lebih memburukkan lagi keadaan, saluran yang dikenali sebagai Maskon Channel telah menggunakan gambar 'tumbnail' majlis perkahwinan kami.

"Channel tersebut turut mendakwa saya dan isteri mempunyai hutang dengan pihak katering," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu pasangan suami isteri tersebut bersama keluarga hadir ke Tetuan Hasif Kumar & CO untuk memfailkan saman sivil kepada saluran berkenaan tersebut.

Menurut Ahmad Faris, fitnah tersebut secara tidak langsung telah mencemarkan imej dan meninggalkan trauma kepadanya, isteri serta keluarga apabila video tersebut meraih lebih 100,000 tontonan.

Iklan
Pasangan suami isteri muda tular, Ahmad Faris Umar danNurin Irdina menunjukkan cincin perkahwinan mereka yang masih tersemat di jari mereka.

Katanya, satu laporan polis juga dibuat pada 26 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Ahmad Faris Umar berkata, laporan itu bertujuan mengambil tindakan saman sivil ke atas pemilik akaun Youtuber tersebut yang secara terang-terangan menyebarkan fitnah.

Sebelum ini, Maskon Channel yang memetik ciapan Twitter milik pengacara televisyen popular, Fedtri Yahya yang mengatakan 'baru dua minggu dah nak bercerai sebab baru rasa tak bersedia, duit katering pun tak habis bayar lagi' telah menggunakan gambar 'tumbnail' perkahwinan pasangan berkenaan, sekali gus merujuk perkara tersebut kepada mereka.

Sementara itu, ibu kepada Ahmad Faris Umar, Zalaha Hassan, 57, berkata, video tersebut menyebabkan dia mengalami kemurungan dan tertekan.

"Saya ingin tegaskan semua dakwaan itu tidak benar. Anak saya dan pasangannya hidup bahagia.

"Soal hutang dengan katering itu juga tidak benar kerana saya yang memasak makanan untuk kenduri tersebut bukannya ditempah," katanya.

Peguambela dan peguam cara keluarga berkenaan Muhammad Hasif Hassan berkata, saman sivil itu bertujuan memberikan pengajaran kepada Youtuber tersebut supaya tidak menyebarkan fitnah.

Katanya, pemilik saluran itu juga perlu bertanggungjawab ke atas laporan berkaitan anak guamnya yang telah dimuat menerusi Youtube tersebut.

Sinar Harian 31 Disember lalu melaporkan, Ahmad Faris Umar dan Nurin Irdina Mohd Muhizan menyifatkan perkahwinan mereka sebagai jodoh walaupun di usia muda.

Perkahwinan remaja itu tular apabila video dan foto mereka mengenakan busana pengantin dipaparkan di media sosial hingga mengundang perdebatan dalam kalangan warganet mengenai perkahwinan mereka pada usia muda.