KUCHING - Sarawak mencatatkan dua kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus berbahaya itu di bumi Kenyalang ini kini meningkat kepada 50 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan kes kematian ke-49 merupakan kes ke-4,527 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 92 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 30 Januari kerana mengalami kesukaran bernafas.
"Ujian saringan dibuat pada 31 Jan dan dikesan positif. Keadaan kesihatan kes merosot dan telah meninggal dunia pada 6 Februari,” menurutnya.
Kes kematian ke-50 pula merupakan kes ke-2,422 iaitu seorang wanita warga tempatan berumur 73 tahun yang dirujuk ke Hospital Sibu kerana dikesan positif Covid-19 melalui hasil saringan bergejala daripada sebuah pusat jagaan pada 19 Januari.
"Kes mengalami gejala demam bermula 17 Januari dan ujian saringan dibuat pada 18 Januari didapati positif pada 19 Januari. Keadaan kesihatan kes terus merosot dan telah meninggal dunia pada 6 Februari,” menurut JPBN.
Sarawak hari ini merekodkan 219 kes positif Covid-19.
Sementara itu, JPBN memaklumkan Jabatan Imigresen Sarawak telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk warga asing dalam operasi Ops Serkap hari ini selepas 19 warga Indonesia ditahan ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Miri menggunakan bas awam.
"Semasa pemeriksaan dilakukan, kesemua warga Indonesia itu didapati bersembunyi di bawah kerusi dan di sebalik timbunan kotak. Dua warga tempatan juga ditahan dalam operasi ini kerana dipercayai bersekongkol dalam penyeludupan warga asing ke Malaysia.
"Hasil risikan awal mendapati kesemua warga Indonesia yang ditahan telah masuk ke Sarawak melalui jalan hutan dari Lubok Antu dan kemasukan mereka dipercayai telah diuruskan oleh warga tempatan berkenaan,” menurut JPBN.
Kesemua warga Indonesia itu sedang disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966 manakala warganegara Malaysia itu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran. - Bernama