KAUM Cina akan sambut Tahun Baharu Cina pada 12 Februari ini. Namun disebabkan Covid-19, ia diraikan cukup suram sekali.
Kawan-kawan Cina kita memang faham peraturan dan undang-undang dikenakan kerajaan. Demi menjaga kesihatan semua orang, mereka rela sambut secara ala kadar.
Lain pula bila waktu ‘makan besar’. Bagi kaum Cina, tradisi ‘makan besar’ tidak boleh dibuat ‘cincai-cincai’.
Tujuan buat ‘makan besar’ ialah seboleh-bolehnya mahu ahli-ahli keluarga berkumpul dan duduk makan bersama. Ia dibuat pada malam sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Demi menyekat penularan Covid-19, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) pun keluarlah prosedur operasi standard (SOP) untuk hari ‘makan besar’ yang jatuh pada 11 Februari ini.
Pada 4 Febuari lalu, MKN buat pengumuman menyatakan jamuan makan besar itu terhad kepada maksimum 20 orang dari rumah yang sama.
Jumlah mengehadkan maksimum 20 orang dari rumah yang sama memang tidak timbul sebarang masalah. Kata seorang rakan Cina,"Mana nak cari sampai 20 orang? Orang Cina sekarang paling ramai pun ada 4-5 orang anak sahaja!”
Yang menjadi masalah dan soalan yang mengelirukan orang-orang Cina ketika itu ialah MKN mengenakan syarat: ‘Makan besar’ hanya boleh diraikan oleh anggota keluarga dari rumah yang sama.
MKN kena faham, ada juga anak-anak yang tinggal berdekatan dengan jaraknya tidak lebih daripada 10 kilometer dengan rumah ibu bapa mereka. Tetapi mereka tidak dibenarkan pergi ‘makan besar’ kerana tidak tinggal serumah dengan ibu bapa.
Semalam, MKN akhirnya mengumumkan SOP baharu. MKN kini membenarkan 'makan besar' pada 11 Februari ini boleh dihadiri tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10 km radius tanpa rentas daerah dan negeri.
Inilah perubahan kali ketiga yang dilakukan oleh MKN mengenai SOP Tahun Baharu Cina ini.
Sebelum itu, pada 6 Februari lalu, MKN membawa khabar gembira kepada kaum Cina apabila kerajaan tidak lagi mengehadkan maksimum 20 orang dari rumah yang sama ketika menghadiri 'makan besar'.
MKN perlu faham bahawa soal jumlah orang bukan jadi keutamaan, yang penting orang-orang yang menghadiri ‘makan besar’ ini. 'Makan besar' ini hanya sehari dalam setahun. Inilah masanya untuk ahli-ahli keluarga tersayang berkumpul dan menikmati hidangan yang mungkin lebih mewah berbanding hari-hari biasa.
Namanya ‘makan besar’, tetapi makan apa tidak penting, yang mereka mahu ialah dapat berjumpa bersama sebagai satu keluarga di atas meja makan!