Warga emas gembira rumah berwajah baharu sambut Tahun Baharu Cina

Iklan
Kumaran (dua dari kanan) menyerahkan ang pau kepada Lean Ngang hasil sumbangan daripada KMEK ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR - Sepasang warga emas di Simpang Empat, di sini tidak sabar menyambut Tahun Baharu Cina setelah rumah mereka kini berwajah baharu hasil usaha baik pulih menerusi program Sentuhan Kasih KMEK dan E-Idaman.

Lee Lean Ngang, 75, berkata, dia yang tidak bekerja mendiami rumah berkenaan lebih 40 tahun lalu bersama isterinya Kang Ah Koon, 70, yang bekerja sebagai pengasuh.

Iklan
Iklan
Lean Ngang membersihkan gambar lama keluarga mereka untuk digantung di dinding rumah.

Bagaimanapun katanya, rumah berkenaan semakin uzur setelah dilanda ribut kira-kira setahun lalu.

"Disebabkan kejadian itu bumbung rumah kami diterbangkan angin manakala bahagian yang cuma dilapik dengan 'plywood' juga rosak. Setiap kali hujan, air akan memenuhi ruang rumah kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang membantu membaiki rumahnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Jumaat ini.

Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kumaran Rajamoney berkata, pemilihan rumah Lean Ngang ini dibuat hasil bantuan sahabat media melalui laporan yang dibuat oleh agensi masing-masing.

Iklan
Kumaran (kanan) membantu menyusun atur perabot dalam rumah Lean Ngang sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

"Semasa kali pertama melihat gambar rumah ini, ia tidak nampak begitu uzur, tetapi apabila kita datang tengok sendiri, rupanya rumah ini sangat tidak selamat untuk didiami oleh golongan warga emas.

"Kita telah menjalankan kerja pembaikan menyeluruh dengan menukar sebahagian besar struktur rumah kayu ini yang telah reput, menukar bumbung serta menyediakan sistem pendawaian yang selamat.

"Ini adalah sumbangan kecil yang dapat kita hulurkan untuk memberi kegembiraan kepada pasangan warga emas ini walaupun sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn Bhd, Erni Nerina Awang Salleh berkata, E-Idaman sentiasa prihatin dengan kehidupan masyarakat setempat dan terus komited menyampaikan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati apabila dapat bekerjasama kali kedua bersama KMEK dalam membantu masyarakat setempat yang memerlukan.

"E-Idaman juga menyediakan perkhidmatan pembersihan kawasan dan turut serta dalam misi membantu membaiki serta menceriakan rumah keluarga ini.

"Dalam usaha menekankan kelestarian alam, kami turut membantu keluarga ini dengan menyediakan platform bercucuk tanam untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran melalui pengunaan baja kompos daripada E-Idaman," katanya.