SEREMBAN - Kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan keperluan anak-anak di luar bandar dapat belajar dengan capaian internet dengan baik.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain memastikan capaian internet di setiap daerah berada dalam keadaan baik, pihaknya juga menyambut baik penubuhan Pusat Internet Komuniti (PIK).
Katanya, inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi membantu mereka yang tidak memiliki komputer di rumah.
"PIK adalah salah satu inisiatif di SKMM untuk meningkatkan capaian internet terutamanya kepada penduduk di luar bandar.
"Di Negeri Sembilan, kita mempunyai 50 PIK, semuanya terletak di kawasan yang memerlukan seperti di luar bandar dan sangat berguna kepada mereka yang ingin mengurangkan kos," katanya dalam kenyataan di laman sosialnya pada Ahad.
Tambahnya, PIK memberikan satu jalan yang mudah dan menjimatkan kos kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan.
Katanya, melihat kepada situasi semasa yang memerlukan penggunaan internet dan komputer bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), PIK merupakan antara alternatif terbaik.
"PIK turut dilengkapi dengan bilik mengajar, serta pelbagai perkhidmatan lain seperti fotostat dan percetakan di samping mempunyai kadar bayaran yang sangat murah berbanding pusat internet swasta lain.
"Semoga ibu bapa dan juga pelajar dapat memanfaatkan inisiatif yang dijalankan oleh SKMM ini dengan baik," katanya.