SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan mengimport enam ekor anjing dari Taiwan yang disyaki menggunakan maklumat palsu di kawasan kargo agensi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Khamis lalu.
Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, kesalahan dikesan hasil pemeriksaan rapi pada dokumen dan fizikal haiwan tersebut pada jam 6 petang.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kesalahan dipercayai berlaku di mana nombor mikrocip yang terdapat pada badan anjing tersebut didapati tidak sama dengan dokumen permit import yang diisytiharkan.
"Kesalahan mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
"Kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua haiwan tersebut telah ditahan dan dikuarantin untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita.