SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak akan mengalah dalam usahanya menyatupadukan semua parti Melayu walaupun dipecat, bulan lalu.
Katanya, beliau akan sentiasa istiqamah dengan pendirian bahawa UMNO akan menjadi lebih kuat sekiranya mampu bermuafakat dan bekerjasama dengan semua parti Melayu yang ada.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, UMNO wajib untuk memimpin perpaduan dan muafakat parti Melayu tersebut.
"Mendamaikan antara pihak yang berbalah adalah perintah agama. Berpegang teguh pada tali ALLAH dan tidak bercerai-berai juga perintah ALLAH kepada golongan orang yang beriman.
"Meskipun hasutan supaya membenci sesama parti Melayu sedang rancak dilancarkan pihak tertentu dan disambut secara tidak sedar oleh sesetengah orang Melayu, kita wajib meneruskan usaha agar penyatuan dan muafakat parti dijadikan realiti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, tanggungjawab tersebut bukan sekadar satu strategi politik namun merupakan jihad dalam menunaikan perintah ALLAH SWT.
Tambahnya, melalui cara tersebut akan memupuk kesatuan dengan parti-parti dan bangsa lain dalam sebuah negara yang berbilang bangsa serta agama.
Pada 5 Februari lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu bagi menggantikan Annuar.
Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).