PENGENDALI Chelsea, Tomas Tuchel optimis skuad kendaliannya itu mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok empat terbaik (top four).
Tuchel meluahkan keyakinan itu setelah menyaksikan The Blues menewaskan Sheffield United 2-1 di Bramal Lane pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, Chelsea yang kini berada pada kedudukan kelima dilihat mampu meneruskan kecemerlangan berkenaan pada perlawanan akan datang.
"Bola sepak di EPL bersifat fizikal dan mencabar. Sejak tiba di sini saya telah melihat banyak kualiti yang dihasilkan menerusi perlawanan-perlawanan yang berlangsung dan ia (kualiti) tidak pernah berhenti.
"Saya juga dapat merasakan semangat yang diberikan oleh kesebelasan pemain pada setiap perlawanan yang diharungi dan ia sekali gus menjanjikan aksi yang terbaik daripada setiap pemain,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Mason Mound membuka jaringan pada minit ke-43; namun Sheffield United berjaya menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Antonio Rudiger pada minit ke-55.
Bagaimanapun hanya tiga minit berselang, Jorginho menyempurnakan sepakan penalti bagi mengesahkan kemenangan The Blues.
Sementara itu Tuchel berkata, dia gembira untuk terus melatih The Blues dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan kepadanya untuk mewarisi’ sebuah pasukan yang mempunyai mentaliti kemenangan.
"Ia satu penghormatan untuk terus melatih pasukan ini kerana setakat ini semua perkara berjalan dengan baik dan membuatkan kami gembira.
"Kami memiliki pasukan yang sentiasa bersedia untuk menang dan semangat itu dapat dirasai apabila anda berada di padang latihan,” katanya.