CANBERRA - Australia terus meyakinkan penduduknya mengenai keberkesanan vaksin AstraZeneca Covid-19 setelah Afrika Selatan menangguhkan penggunaan suntikan itu kerana menunjukkan hasil yang mengecewakan.
Lapor Reuters, menerusi data, Afrika Selatan menganggarkan tahap keberkesanan suntikan vaksin Covid-19 berkurangan sebanyak 22 peratus pada Ahad sekali gus menghentikan penggunaan vaksin tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt, menegaskan vaksin itu amat berkesan dan mencapai objektifnya.
"Tidak ada bukti yang menunjukkan penurunan keberkesanan vaksin AstraZeneca atau Pfizer dalam mencegah penyakit Covid-19 dan mengakibatkan kematian. Vaksin ini adalah pelindungan terbaik melawan virus," kata Hunt.
Australia dijangka bersetuju menggunakan vaksin AstraZeneca dalam beberapa hari lagi.
Pada bulan lalu, pihaknya meluluskan penggunaan vaksin Pfizer -BioNTech Covid-19 walaupun sudah mempunyai dos mencukupi untuk populasinya.
Negara ini juga telah memesan 53 juta dos vaksin AstraZeneca yang sebahagian besarnya akan dilakukan oleh syarikat tempatan iaitu CSL Ltd.
Australia, bagaimanapun tidak tertekan untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19 kerana negaranya berjaya mengekang virus berkenaan.
Pada Isnin, hanya satu kes baharu Covid-19 dilaporkan.
Sebelum ini, syarikat farmaseutikal, AstraZeneca mempertahankan keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkannya, selepas beberapa media melaporkan kerajaan Jerman meragui suntikan itu terhadap warga emas yang berusia 65 tahun ke atas.
Beberapa laporan mendakwa kononnya tahap keberkesanan vaksin AstraZeneca-Oxford terhadap warga emas 65 tahun ke atas adalah serendah lapan peratus tetapi syarikat tersebut bertegas perkara itu tidak benar.