Jabatan Perikanan siasat tular ikan dituba di Sungai Serting

Iklan
Gambar yang tular dengan longgokan beratus-ratus ikan yang didakwa dituba - Foto Sumber Facebook

JEMPOL - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sedang menyiasat dakwaan berlaku aktiviti menuba ikan di Sungai Serting, Jempol sebagaimana tular di media sosial Facebook sejak pagi Isnin.

Pengarahnya, Halimi Abu Hanip berkata, usaha mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan kini dilakukan pihaknya bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Kita mendapat maklumat berhubung perkara itu di Facebook. Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan lagi sama ada maklumat dikongsi oleh pemilik akaun itu benar atau tidak.

"Belum ada individu yang tampil melaporkan perbuatan itu kepada kami. Saya tidak boleh mengesahkan berlaku aktiviti menuba ikan di situ kerana belum ada bukti lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Jelas beliau, berdasarkan gambar semata-mata, kita tidak boleh membuktikan ikan itu ditangkap menggunakan cara menuba, mengaran (kejutan elektrik) atau mengebom termasuk sama ada benar ia berlaku di sungai serta tarikh kejadian.

Menurutnya, berdasarkan rekod pihaknya, kegiatan sebegini lazimnya dilaporkan berlaku sebaik sahaja musim kering tiba selepas berakhirnya musim tengkujuh.

Iklan

Selain itu katanya, pihaknya sentiasa bersedia dan telah mengingatkan komuniti perikanan di setiap daerah untuk sama-sama membantu dalam memantau perbuatan menangkap ikan dengan cara tidak bertanggungjawab agar dapat diambil tindakan.

"Bila ada maklumat sebegini kita akan segera buat siasatan lanjut. Sesiapa yang menggunakan kaedah menuba, renjatan elektrik, bahan letupan atau memanah ikan boleh didakwa mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976 Negeri Sembilan.

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.