Bateri kereta terangi malam lima sekeluarga

Iklan
Muhammad Arof (kiri) dan Mohamad Khairuddin (dua kanan) melihat bateri kereta yang digunakan oleh Nazrin (kanan) sebagai bekalan elektrik rumahnya sejak enam tahun lalu di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra pada Isnin.

JITRA - Sebuah keluarga di Kampung Lahar, Mukim Malau, dekat sini hanya bergantung kepada bateri kereta untuk memasang lampu bagi menerangi malam mereka sejak enam tahun lalu.

Penjual ikan, Nazrin Shaari, 44 mengakui dia tidak mampu untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik kepada isteri dan tiga anak perempuannya akibat kekangan kewangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga semakin terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya mampu menjual ikan di hadapan rumah selepas tidak dibenarkan berniaga di pasar malam.

"Sebelum ini, kami tinggal di rumah ibu saya di Kampung Paya Tok Teh sebelum berpindah ke sini, namun masih belum ada kelengkapan elektrik kerana tidak mampu lagi untuk memasangnya biarpun tinggal di tepi jalan utama.

Iklan

"Malah, telefon bimbit untuk anak belajar pun saya tumpang cas di rumah jiran memandangkan arus elektrik daripada bateri kereta tidak kuat. Selain itu, rumah kami pun tiada kipas," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhammad Arof Darus.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pembangunan Mara Kedah, Mohamad Khairuddin Mohd Asari dan Pegawai Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Kedah, Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali.

Iklan

Mengulas lanjut, Nazrin berkata, pendapatannya kini kian merosot dan hanya mampu meraih sekitar RM30 sahaja dalam tempoh PKP.

Dari kanan, Muhd Akmal Fawwaz dan Mohamad Khairuddin menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan YPM di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra pada Isnin.

"Saya kini hanya dapat berniaga ikan di depan rumah. Dapatlah sikit duit untuk tampung kehidupan kami sekeluarga. Saya bersyukur kerana Pejabat Daerah Kubang Pasu, Mara dan YPM tampil membantu kami,"katanya.

Sementara itu, Muhammad Arof berkata, pihaknya akan membantu memasang pendawaian di rumah Nazrin dengan kerjasama Pusat Giat Mara Jerlun.

"Ini adalah salah satu usaha pihak kami untuk membantu keluarga tersebut. Pejabat Daerah Kubang Pasu akan menyediakan bahan-bahan pendawaian manakala kerja pemasangan akan dilakukan oleh Pusat Giat Mara Jerlun.

"Kami telah menghubungi TNB dan kos pemasangan elektrik pula akan ditampung oleh Yayasan Tenaga Nasional Berhad," katanya.

Dalam pada itu, Muhd Akmal Fawwaz pula berkata, anak bongsu Nazrin, Siti Nur Qistina,11, akan dicadangkan sebagai anak angkat YPM bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.

"Jika diluluskan, Siti Nur Shahirah akan menerima bantuan bulanan daripada YPM," katanya.