ANDA mungkin pernah ditawarkan satu produk alat penjimatan elektrik pada harga antara RM200 hingga RM400 sebuah.
Alat seperti itu kini bersepah dijual pasaran sama ada ada secara langsung di premis perniagaan ataupun di media sosial.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tentu anda menjangkakan alat seperti itu dapat membantu mengurangkan bil elektrik setiap bulan.
Ini kerana ada penjual yang mendakwa alat berkenaan mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di rumah sehingga 40 peratus.
Jangan mudah terpedaya kerana alat berkenaan sebenarnya tidak memberikan penjimatan elektrik seperti didakwa, malah tidak berbaloi dengan harga yang dijual.
Lebih mengejutkan, kebanyakan alat penjimatan tenaga elektrik yang tiada kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) itu berkualiti rendah.
Ikuti kupasan Wartawan Sinar Siasat minggu ini.
Alat jimat elektrik tidak dapat kelulusan Sirim
SIRIM QAS International tidak pernah menguji atau memberi pensijilan barangan ke atas alat penjimatan elektrik yang dijual di kedai peralatan elektrik mahu pun di laman sosial ketika ini.
Pengarah Urusan Sirim QAS International, Mohd Azanuddin Salleh berkata, pengguna perlu membeli barangan kelengkapan elektrik yang disahkan oleh Sirim QAS International.
Katanya, bagi barangan kelengkapan elektrik yang diuji dengan Standard Minima Kecekapan Tenaga (MEPS), pengguna perlu merujuk kepada label MEPS sebelum membuat pembelian.
"Sebab itu, pengguna perlu berhati-hati dengan tawaran disediakan. Pastikan peralatan itu juga mencapai piawaian. Teliti perkara ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.