KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan cuai ketika menjaga seorang bayi perempuan berusia 10 bulan sehingga menyebabkan paru-paru kanak-kanak itu dimasuki air tahun lepas.
Bagaimanapun, Leong Mooi Yin, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyun Talib.
Wanita itu didakwa melakukan kecuaian ke atas bayi berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di dalam bilik air sebuah rumah di Cheras dekat sini pada 5.30 petang 27 Februari tahun lepas.
Mangsa, kini berumur setahun 10 bulan.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selepas dimandikan, bayi itu difahamkan mengalami masalah penafasan kerana air telah memasuki paru-parunya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu amat serius namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia kini tidak lagi bekerja dan suaminya hanya bekerja sebagai tukang kayu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes. - Bernama