Penunggang motosikal parah gara-gara kereta buat pusingan U

Iklan
Rakaman video yang memaparkan kejadian kemalangan sebuah motosikal dengan kereta tular di laman sosial.

GOMBAK - Seorang wanita cedera parah apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu Rawang di sini Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang ketika mangsa berusia 23 tahun itu menunggang motosikal dari arah pekan Rawang menghala pulang ke rumah di Taman Tun Teja Rawang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika tiba di lokasi sebuah kereta Proton Persona dari arah bertentangan telah membuat pusingan U dan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar di bahagian hadapan kiri kereta itu.

"Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki kanan dan tangan kiri sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Iklan

Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan kini dilaporkan stabil manakala pemandu kereta sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arifai meminta kerjasama daripada orang awam yang menyaksikan kejadian kemalangan ini untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Iklan

Sebelum ini video berdurasi 21 saat yang memaparkan insiden itu tular di laman sosial.