'Sijil palsu mainan politik sejak zaman BN lagi'

Iklan
Sivamurugan

KOTA BHARU – Kejujuran seseorang pemimpin itu dengan rakyat lebih penting dari nilai sekeping sijil akademik yang boleh dipalsukan, kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian.

Menurutnya, isu sijil akademik yang palsu ini bukanlah agenda baru dalam mainan politik di Malaysia, malah sebelum ini pun ramai pemimpin di zaman pemerintahan BN sendiri berdepan dengan isu seperti ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, jalan penyelesaian hanya satu, iaitu jujur dengan seluruh rakyat, tidak perlu berdolak dalih dengan apa yang sebenarnya tidak berlaku sehingga akhirnya rakyat sendiri boleh membongkar semua perkara.

"Orang yang layak jadi pemimpin, jadi ketua, bukan perlu sijil pun. Tapi kena ingat satu sahaja, kejujuran itu lebih penting. Lebih baik kita mengaku yang kita tiada sijil, berbanding kita tipu orang kata kita graduan, tapi sebaliknya benda lain berlaku.

Iklan

"Rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana kekuatan seseorang pemimpin itu apabila tidak mempunyai apa-apa sijil tetapi diberikan kepercayaan untuk menjadi negara dengan jawatan-jawatan yang besar.

"Itu bermaknanya mereka layak, mampu menggalas tanggungjawab tersebut tanpa memerlukan satu pengiktirafan yang tinggi. Lebih baik mengaku daripada membiarkan rakyat membuat kita lebih malu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Menurutnya, pemimpin yang mempunyai kejujuran adalah pemimpin yang betul-betul berintegriti dan boleh menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin lain yang sentiasa berlumba untuk menawan hati rakyat.

Beliau berkata, kemungkinan besar apa yang berlaku ini memberi kesan kepada kepercayaan rakyat kepada pemimpin Malaysia Baharu, namun sejauh mana kejujuran pemimpin itu sendiri yang mampu mengembalikan pandangan positif rakyat kepada mereka.

"Jika kita tidak ada sijil, jangan malu untuk mengaku. Ini zaman canggih, semuanya di hujung jari. Tapi kepercayaan tidak boleh dijual beli. Rakyat lebih bijak menilai sejauh mana pemimpin itu layak digelar pemimpin jika pun mereka mempunyai dua kotak sijil sekalipun,” katanya.