Ada permintaan pasti ada penawaran!

Iklan
Dalam bidang politik berparlimen yang tidak bergantung kepada faktor fizikal, sepatutnya kita sudah boleh mencapai tahap perbincangan, penghujahan dan perdebatan politik parlimen yang bermutu tinggi.

SATU lagi aspek tradisi dan adab dalam politik kepartian rakyat Malaysia termasuk parti orang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Iban, Dayak dan lain-lain ialah kegagalan parti-parti politik Malaysia ‘mengInggeriskan’ satu sistem demokrasi berparlimen yang diimport bulat-bulat daripada England.

Kalau boleh saya umpamakan kegagalan ini seperti kegagalan rakyat Malaysia dalam prestasi sukan yang paling digemari oleh semua kaum, iaitu bola sepak yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu yang ditukar menjadi Federation of Malaya.

Iklan
Iklan

Daripada dulu sampai sekarang pasukan bola sepak Malaysia belum ada yang setanding dengan pasukan bola sepak England liga utama, baik dari segi pengurusannya, sistem latihannya dan teknik-teknik baharu dalam pertandingan profesional.

Memang lebih sukar menyaingi pasukan bola sepak Inggeris berbanding bidang politik dan budaya demokrasi kerana kita mempunyai kelemahan tabi’i dari segi fizikal, kelasakan dan stamina pemain, walaupun kelebihan itu boleh dicapai oleh bangsa lain seperti Korea, Jepun, Arab dan Afrika.

Dalam bidang politik berparlimen yang tidak bergantung kepada faktor fizikal, sepatutnya kita sudah boleh mencapai tahap perbincangan, penghujahan dan perdebatan politik parlimen yang bermutu tinggi yang mempunyai unsur-unsur berikut;

Kematangan berhujah bukan secara emosional tetapi bersifat rasional, beretika, berpandukan penyelidikan dan data; tidak biadab; tidak menggunakan kata-kata kesat dan keji; bertimbang rasa terhadap perasaan orang lain walaupun berbeza parti; bersikap boleh menerima pendapat atau cadangan pihak seberang dewan dalam isu-isu tertentu; bersetuju untuk berbeza secara terhormat; menghormati peraturan dan keputusan Yang Di-pertua yang menjalankan tugas memimpin dan mengawal perdebatan serta membuat keputusan yang neutral, adil dan saksama.

Iklan

Barangkali, tiga faktor yang menghalang pencapaian wacana Parlimen yang matang, beradab dan berkualiti tinggi di Malaysia ialah:

(A) sistem Parlimen Inggeris yang terbelah dua antara kerajaan dan pembangkang berorientasi pemikiran yang bersifat adversarial yang memerlukan kepintaran mematah atau mematikan atau memutar hujah-hujah pembangkang yang bertugas semata-mata untuk membangkang pendirian kerajaan.

Iklan

Dalam sistem kehakiman Islam tradisional, pendekatan yang digunakan bukan bersifat adversarial tetapi lebih kepada kaedah inquisitorial, di mana hakim dan mahkamah cuba mencari fakta-fakta tentang kebenaran atau kepalsuan yang dibuat oleh seorang tertuduh atau didakwa melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syariah.

Dalam sistem pemerintahan Islami pula, proses pembuatan keputusan berjalan atas prinsip shura (konsultasi), menegakkan keadilan,dan kerjasama atau tolong-menolong (ta`āwun).

Di Malaysia, dengan diimportnya sistem politik Inggeris yang membelah dua kehidupan politik rakyat kepada pro kerajaan dan pro pembangkang, dibantu pula oleh sistem mahkamah Inggeris yang menggunakan tradisi adversarial, maka terpinggirlah tradisi muafakat dan kerjasama dalam pembinaan negara.

Shura sebagai kaedah utama pembuatan dasar negara, dan prinsip kehidupan peradaban antara umat Muslim dan umat bukan-Muslim atas dasar kesatuan umat yang satu, kenal-mengenali (taaruf) dan berinteraksi secara aman dan damai tidak dapat menjadi tradisi masyarakat dan negara Malaysia.

Tetapi di England, budaya dan pemikiran politik berparlimen dan demokratis sudah lama mencapai kematangan dan kestabilan sehingga seluruh perjalanan sidang Parlimen di Westminster boleh diikuti secara langsung melalui TV.

Rakyat juga dibiasakan dengan tradisi perdebatan berkualiti tinggi, terhormat, beradab dan beretika baik di pihak kerajaan atau pembangkang. Barangkali Parlimen Malaysia memerlukan satu atau dua dekad lagi untuk bermain bola politik seperti permainan Parti Konservatif dan Parti Buruh!

(B) Bagi negara Britain, jenis dan sistem kenegaraan yang rakyatnya pilih sejak ratusan tahun ialah Secular Democracy dengan sistem beraja tradisional yang semata-mata berfungsi secara ceremonial dan simbolik sahaja, dan agama berada di luar bidang politik dan kehidupan bernegara.

Di Malaysia, malangnya belum ada konsensus, sampai sekarang, tentang sifat sebenar negara Malaysia. Apakah ia Negara Sekular atau Negara Islamik atau Negara Campuran Sekular-Islamik (hybrid) di mana unsur-unsur sekulariti bercampur dengan nilai Islam sebagai agama persekutuan.

Kewujudan ketiga-tiga orientasi pemikiran politik tanah air dalam hubungan yang polaristik dan bertentangan turut menyumbang kepada kenaikan suhu politik ke taraf kepanasan yang kadangkala membimbangkan. Bilakah agaknya persoalan sifat negara dan kontroversi sekitarnya dapat diatasi?

(C) Kematangan berpolitik, peningkatan kualiti perdebatan, wacana pemikiran kritis dan innovatif yang bersifat problem-solving bukan ego-driven dan ketiadaan amalan rasuah politik memerlukan antara lain:

(1) Kewujudan kebebasan media yang bertanggungjawab dan menjadi pejuang keadilan, ketulusan dan integriti dalam pemerintahan dan pentadbiran;

(2) Pengasingan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman;

(3) Tahap pengetahuan yang mantap tentang sistem demokrasi masa kini, realiti masyarakat berbilang kaum dan keserasian atau kelainan lunas-lunas demokrasi dengan nilai-nilai dan norma-norma pemerintahan dalam peradaban Islam;

(4) Tahap pendidikan sivik dan pendidikan tinggi wakil rakyat atau ahli Parlimen yang baik dan dihormati;

(5) Kemandirian ekonomi ahli dan pemimpin politik yang berdikari yang menyebabkan mereka tidak berlumba-lumba hendak menjadi menteri atau timbalan menteri, atau mendapat projek-projek pembangunan kerajaan atau tawaran mengepalai agensi-agensi perekonomian atau syarikat-syarikat separa pemerintah seperti yang lumrah terjadi di Malaysia berdekad-dekad lamanya.

Pada hemat saya, selagi mana pemain politik Islam di Malaysia yang bercita-cita besar untuk memegang jawatan tinggi atau menjadi pemimpin politik tidak mempunyai sumber kewangan/ekonomi sendiri yang membolehkan mereka berdikari, berani bercakap benar dan tidak menaruh harapan untuk menjadi kaya semasa berada dalam pemerintahan, selama itulah gejala rasuah dan kemunafikan politik akan terus subur.

Di mana ada permintaan di situ pasti ada penawaran! Tetapi di Malaysia penawaran sentiasa ada dan mampu mencipta permintaan. Apa lagi kalau golongan pemimpin parti Melayu sendiri yang menjadi contoh manusia yang pintar memanipulasi situasi politik atau persepsi awam untuk kepentingan diri, menjadi opportunist yang lincah dan bersedia menggunakan cara-cara Machiavellian untuk mencapai tujuan-tujuan peribadi yang tak beretika. Dalam sejarah politik Malaysia pasca kemerdekaan contoh-contoh manusia begini begitu banyak sekali.

3.3. Perpaduan melalui kaedah transformasi rohani-akhlak ahli dan pemimpin parti politik.

Agenda transformasi ini harus diberi keutamaan oleh pimpinan parti politik masa kini dan masa hadapan kerana dalam pandangan alam Islam Tauhidik, essensi insan ialah rohani-akhlaki dan kemurnian kalbu menjadi asas yang kukuh dan benar kepada pemikiran dan tingkah laku insan yang baik yang membawa kepada kesejahteraan dan kejayaan yang hakiki (al-falah) (Q. al-Shams 91: 9-10).

Pandangan Tauhidik ini amat berbeza sekali dengan pandangan alam masyarakat bukan Islam kerana ia memberi keutamaan yang jelas kepada persediaan yang sebaik mungkin oleh si Mukmin, Muttaqi dan Muhsin untuk mencapai kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat dengan menjadikan kejayaan kehidupannya di bumi sebagai prasyarat kejayaan yang hakiki sesudah mati.

Dalam hal ini kegiatan politik, atau kegiatan ekonomi atau kegiatan budaya seorang Muslim automatik menjadi sarana peribadatan yang boleh membawa kepada al-falah kalau ia berpandukan iman dan taqwa, tetapi boleh juga membawa kepada al-khusrān (kerugian yang hakiki) kalau dijajah oleh koloni anai-anai rasuah, penipuan, pengkhianatan dan perlakuan kemunafikan.