Rata-rata ibu bapa cari komputer riba bawah RM1,500

Iklan
Sebahagian laptop yang masih ada dipamerkan di kedai komputer Acer Concept Store cawangan KTCC Mall, Kuala Terenganu

KUALA TERENGGANU - [LAPORAN KHAS] Penyelia premis Acer Concept Store Cawangan KTCC Mall, Muhamad Lutfil Hadi Abdul Razak, 24, mengakui jualan komputer riba di kedainya terutama bagi harga di bawah RM1,500 meningkat berganda sejak kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

"Kebanyakan yang membelinya dalam kalangan ibu bapa dan mereka mencari gajet pada harga bawah RM1,500 sehingga kami kehabisan stok pelbagai jenama.

Iklan
Iklan

"Malah mereka juga dilihat lebih memilih jenama-jenama laptop yang ditawarkan pada harga lebih murah berbanding melihat kepada kualitinya sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Lutfil Hadil berkata, walaupun mendapat permintaan yang tinggi, namun peniaga berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan kerana kebanyakan pembekal mengehadkan pesanan.

Iklan

"Jika sebelum ini kami mudah untuk membuat pesanan yang diperlukan tetapi hari ini tidak lagi kerana pembekal utama mengenakan syarat baharu,” katanya.

Dalam pada itu pemilik SGS Communications Centre, Syahril Azizi Omar, 47, mengakui peniaga gajet berdepan sedikit masalah dengan pembekal utama kerana terpaksa menunggu bekalan yang agak lama selain pembekal mengenakan pelbagai peraturan baharu termasuklah mengehadkan pesanan.

Pemilik SGS Communications Centre, Syahril Azizi Omar

Iklan

"Apa yang dibimbangkan sekiranya pembekal menolak pada harga yang tinggi kepada kami, secara tidak langsung produk tersebut terpaksa dijual pada harga agak tinggi berbanding sebelum ini. Tetapi alhamdulillah setakat hari ini, kami tidak berdepan lagi dengan isu ini,” katanya.