KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Kesempitan hidup yang ditempuh seorang wanita kurang upaya (OKU), Siti Khalijah Awang Kechik, 29, bersama dua anaknya di Taman Seri Bekah Penaga di sini memaksa mereka mencatu makanan demi kelangsungan hidup.
Dugaan itu bermula selepas suaminya dihukum penjara sehingga menyebabkan tiga beranak itu terkena tempias dan terpaksa menjalani kehidupan serba kekurangan serta sering kelaparan.
Siti Khalijah yang disahkan menghadapi masalah pembelajaran sejak berusia 12 tahun mengakui agak mencabar membesarkan kedua-dua orang anaknya berusia tiga dan tujuh tahun sendirian tanpa sebarang pendapatan.
Menurutnya, dengan status OKU juga menyebabkan dia sukar untuk menerima sebarang pekerjaan.
"Selepas suami dimasukkan ke penjara pada 2018 kehidupan kami hanya bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang yang berjumlah RM650 secara keseluruhan.
"Sememangnya bantuan bulanan yang diterima meringankan beban namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan kami sekeluarga berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi masa ini.
"Keadaan bertambah susah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hinggakan pernah suatu ketika bekas beras kami kosong dan bekalan kami makanan terputus beberapa hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Bagi mencari pendapatan sampingan Siti Khalijah berkata, dia kini mengusahakan jualan kerepek secara kecil-kecilan dan diletak di beberapa kedai runcit berhampiran.
Katanya, dengan cara itu, dia boleh meraih pendapatan sebanyak RM30 seminggu sekiranya semua kerepek habis terjual.
Bagaimanapun, katanya ketika perlaksanaan PKP ketika ini menyukarkan dia mendapatkan bekalan tepung dan bahan lain sekaligus membataskan urusannya dalam menyediakan kerepek.
Lebih mengecewakan apabila kerepeknya yang dijual langsung tidak laku menyebabkan dia tidak menerima pulangan.
"Saya sedih melihat anak-anak kerana mereka terpaksa menahan perut disebabkan saya mencatu makanan harian sedangkan mereka selalu meluahkan keinginan untuk merasai makanan yang sedap tetapi saya sudah tiada duit.
"Dalam keadaan sesak begini saya hanya mampu mengikat perut asalkan dua anak saya boleh menikmati makanan harian mereka," katanya
Mengulas mengenai kehidupannya, Siti Khalijah bersyukur kerana kakak ipar, Faridah Saad, 55 membenarkan mereka sekeluarga tinggal bersamanya selepas dia hilang tempat bergantung.
Siti Khalijah berkata, kakak iparnya yang juga ibu tunggal turut mempunyai anak perempuan OKU yang hanya mampu terbaring di atas tilam.
Beliau berkata, anak kakaknya itu Norehan Razali, 20 mengalami kecacatan fizikal serta saraf yang memerlukan perbelanjaan tinggi setiap bulan untuk kos ubat, susu khas, lampin pakai buang dan banyak lagi.
"Bukan kami tak bersyukur dengan bantuan yang diterima namun ia sekadar cukup-cukup makan sahaja, malah sebelum ini saya pernah terputus makanan sementara menunggu tarikh pembayaran wang bantuan.
"Lebih mengecewakan tiada siapa yang pernah ambil peduli tentang kesengsaraan kami di sini malah jiran tetangga yang sebelum ini rapat dengan kami juga dilihat seperti cuba menjauhkan diri selepas suami saya ditangkap polis," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah ketika dihubungi Sinar Harian akan menyemak semula bantuan yang diterima keluarga Siti Khalijah.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Utara akan menziarahi keluarga terbabit pada Selasa.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN 07004 41 00007300 1) atas nama Siti Khalijah Awang Kechik atau boleh menghubunginya di talian 011-36806588.