JOHOR BAHRU - Golongan belia Johor termasuklah yang masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, merupakan komponen penting dalam sesebuah masyarakat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, di Johor, golongan belia membentuk kelompok terbesar demografi penduduk.
Menurutnya, secara tidak langsung, apa sahaja dasar dan agenda pembangunan dirancang, pastinya akan terlebih dahulu memberi kesan besar kepada golongan itu khususnya mahasiswa.
"Sekiranya baik penerimaan dan kesannya kepada golongan belia, maka baiklah kepada masyarakat dan negara.
"Sebab itu ramai ahli akademik, pemikir dan saintis sosial menggelar belia sebagai tulang belakang atau nadi sesebuah masyarakat.
"Golongan belia terutama mahasiswa tidak seharusnya memilih untuk tidak mahu mengambil cakna atau pusing akan segala dasar dan agenda pembangunan dirancang kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Mahasiswa Johor, Persatuan Anak Johor IPT Malaysia di sini.
Aminolhuda berkata, mahasiswa Johor juga mesti menjadi golongan yang berani memikul tanggungjawab, bukan sekadar menjadi kreatif, berdikari dan bersedia menjadi agen perubahan.
"Apa yang jauh lebih penting adalah mahasiswa Johor harus diseru dan dididik menjadi golongan yang berani mengambil dan memikul tanggungjawab.
"Maka jadilah orang yang faham akan erti tanggungjawab. Tunaikan tanggungjawab kalian dengan amanah. Tanggungjawab kepada bangsa Johor, masyarakat, keluarga, diri sendiri dan agama," katanya.
Selain itu, katanya, golongan belia khususnya Anak Johor yang bergelar mahasiswa diharap menggunakan tenaga masa dan kelapangan pada hari ini, untuk keluar menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.
"Anak muda Johor, kalian punya peranan dan tugas kepada bangsa Johor ini. Masa depan dan kelangsungan kedaulatan, jatuh bangun anak bangsa kita, pandangan baik atau buruk orang luar kepada kita.
"Kesemuanya amat bergantung dan dipengaruhi oleh tahap kecerdasan kita sendiri dalam berfikir. Jadi, apa alasan anda semua untuk tidak memberikan yang terbaik kepada negeri Johor kesayangan kita?," katanya.
Beliau menyeru kepada semua Mahasiswa Anak Johor agar keluarlah dari kepompong keselesaan dan melihat masyarakat sekeliling.
"Selepas ini, pulang dan carilah segala ruang dan platform yang ada untuk melibatkan diri dan memberi sumbangan di negeri Johor tercinta ini.
"Kami di pihak kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan sentiasa menyokong aktiviti kalian selagi ia memberi impak positif kepada masyarakat," katanya.