JOHOR BAHRU- Sebuah syarikat makanan sejuk beku, pengarah dan pengurus didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Selasa atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan bagi membekalkan daging sejuk beku pada awal Disember lalu.
Tertuduh, iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh serta seorang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua badan pensijilan halal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu tanpa kebenaran.
Kesalahan tersebut dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai, di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.
ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohammad Onn Abd Aziz, Kwan Li Sa, Syazwani Zawawi, T Ashivinii dan Kee Shu Min.
Tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd Rahman.
Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, perlu melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Mac ini.