SHAH ALAM- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) komited meneruskan Misi MAFI Prihatin ke negeri Johor dengan menyampaikan sumbangan kepada ahli peladang yang terjejas banjir di negeri itu.
Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, misi berkenaan melibatkan 220 ahli peladang daripada enam buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu PPK Kota Tinggi, PPK Kota Tinggi Timur, PPK Johor Bahru Timur, PPK Johor Bahru Selatan, PPK Mersing dan PPK Endau.
"Semua ahli peladang yang terjejas telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan PPK masing-masing.
"Agensi penyelaras Misi MAFI Prihatin Johor adalah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Che Abdullah telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Program MAFI Prihatin Bantuan Banjir Tahun 2021 PPK Kota Tinggi dan PPK Kota Tinggi Timur, di Johor pada Selasa.
Che Abdullah berkata, MAFI melalui LPP sebelum ini telah mengambil langkah segera dalam pemberian sumbangan bantuan kepada ahli peladang terjejas melibatkan 239 orang ahli peladang di PPK Pengerang, PPK Benut, PPK Simpang Renggam, PPK Parit Raja dan PPK Kluang.
"Bantuan yang telah diberikan kepada 239 peladang terjejas di Johor adalah sumbangan Kit Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Kit Nafas) iaitu minyak masak, tepung gandum, sardin, maggi, susu pekat, biskut, produk iat, serbuk coklat, sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan MAFI Prihatin pada kali ini disumbangkan oleh pelbagai jabatan dan agensi iaitu LPP, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Turut memberikan sumbangan ialah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Nafas, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
"Antara barangan yang disumbangkan adalah mesin pengisar, beras, minyak, gula, tepung, toto, dapur gas mini, sardin, Q-fish, buah nanas, susu pekat, telur, ikan bilis, mi, produk-produk iat, barangan pembersih diri dan lain-lain.
"Nilai sumbangan keseluruhan kepada 459 orang ahli peladang terjejas ini meliputi 11 buah PPK dan 38 unit peladang berjumlah RM80,000. Sumbangan barangan makanan dan barangan keperluan asas ini diharap dapat mengurangkan sedikit beban kepada ahli peladang terjejas dalam menghadapi pasca banjir,” katanya.
Menurut Che Abdullah, program bantuan barangan asas dan keperluan ini adalah inisiatif MAFI melalui MAFI Prihatin yang telah dilancarkan oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 21 Januari 2021 di Wisma Tani Putrajaya, Putrajaya.
Beliau berkata, MAFI juga akan membantu pekebun dan ahli peladang yang mengalami masalah perusahaan pertanian mereka yang terjejas banjir melalui Tabung Bencana MAFI dan laporan-laporan telah diterima oleh pihak MAFI untuk penelitian dan tindakan.
Misi MAFI Prihatin kali ini ke negeri Johor selepas misi ke Pahang, Kelantan dan Sabah.