BANJARMASIN - Sekurang-kurangnya 20 bungkus plastik mengandungi bangkai kucing berselerak di jalan raya mengundang simpati penduduk di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia.
Bagaimanapun punca kematian belum dikenal pasti dan ia ditemui oleh pertubuhan Cat Feeder Banjarmasin.
"Bangkai kucing itu dijumpai di kawasan South Ring Road pada Jumaat dalam keadaan mengerikan. Ada berdarah, ada patah kaki," kata seorang ahli Banjarmasin Cat Feeder, Fachrurrazi dalam satu kenyataan yang diterima oleh Tribunnews.
Menurutnya, penemuan bangkai haiwan itu berkemungkinan kerana ditenggelami air namun belum dapat disahkan kejadian berkenaan.
"Banjarmasin baru saja dilanda banjir dan ada kemungkinan kucing itu mati kerana ditenggelami air tetapi timbul persoalan haiwan itu berdarah.
"Kami belum memutuskan lagi sama ada mahu melaporkan penemuan ini kepada pihak berkuasa atau tidak," katanya.
Dilaporkan semua bangkai kucing itu sudah ditanam tidak jauh dari lokasi penemuan bungkusan itu.
Pada minggu lalu, penduduk Banjarmasin gempar penemuan puluhan bangkai kucing hingga menimbulkan persoalan.