SHAH ALAM - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memaklumkan bahawa agensi tersebut tidak akan memberikan sebarang penganugerahan tender melalui rundingan secara terus ataupun tertutup dalam pengurusan projeknya.
Pengerusinya, Datuk Dr Rais Hussin berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan MDEC dalam menyokong inisiatif untuk menangani masalah rasuah di Malaysia.
Katanya, agensi yang diterajuinya itu sangat komited untuk mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan mengangkat integriti sesuai dengan misinya iaitu ‘Reinvent (mencipta semula) MDEC’.
"Dengan merealisasikan misi ini, ia akan memacu strategi kami untuk ke hadapan, sekali gus memastikan kami dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat dan industri berkaitan.
"Sebagai contoh, kami telah menghapuskan rundingan langsung dan praktis pemberian tender secara tertutup dengan mengamalkan sistem tender terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rais berkata, MDEC telah mengambil langkah serius dengan melibatkan syarikat perundingan KPMG dan Ernst and Young untuk memberikan nasihat pakar bagi mengukuhkan lagi tadbir urus agensi yang menguruskan industri digital negara itu.
Katanya, agensi itu juga telah memperkenalkan Had Kuasa Budi Bicara (DAL) yang akan secara jelas menentukan had kuasa, proses dan pelaporan yang akan mengatur penggunaan semua pengeluaran dan sumber dana MDEC.
Mengulas mengenai inisiatif Sinar Rasuah Busters, Rais berkata, kejayaan usaha tersebut memerlukan bukan sahaja kesedaran masyarakat, tetapi juga penglibatan proaktif dan berterusan daripada semua pihak yang berkepentingan dalam sesebuah ekosistem.
"Peningkatan pendidikan, penguatkuasaan dan kehendak politik yang kuat merupakan antara langkah yang diperlukan untuk memastikan kejayaan usaha murni ini dan mengubah negara menjadi pusat Digital ASEAN serta meningkatkan kehidupan setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.
Usaha tersebut merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.