SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai pemantauan yang dilakukan terhadap penempatan pekerja asing dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, isu penempatan pekerja asing khususnya dalam pengawalan penularan Covid-19 memerlukan penjelasan daripada beberapa kementerian terlibat.
"Saya minta Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) menyatakan adakah kerajaan cadang mewajibkan semua pekerja tempatan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 khususnya pekerja-pekerja dalam sektor informal?
"Berapakah jumlah serbuan bulanan yang dilaksanakan oleh kerajaan di perumahan pekerja asing dan tempat kerja? Berapakah jumlah kes majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 dari Januari 2020 hingga Januari 2021? Berapakah jumlah kes majikan yang didenda dan berapa denda yang dikenakan ?” Soalnya.
Charles berkata demikian di dalam surat permohonannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi mengemukakan soalan bertulis kepada Parlimen ketika tempoh proklamasi darurat.
Dalam soalan bertulis tersebut yang dikemukakan pada Isnin, Charles turut membangkitkan persoalan mengenai cadangan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan supaya semua pihak mengikuti Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019.
Beliau turut meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba supaya menyatakan proses pemantauan yang digunakan kerajaan untuk menentukan kepatuhan pekerja-pekerja asing dalam mengikuti penjarakan fizikal penempatan mereka.
"Apakah cadangan kerajaan jika bilangan pekerja terlalu ramai di asrama dan tidak dapat mematuhi penjarakan fizikal yang sepatutnya?
"Hal ini penting untuk mengelakkan pekerja yang dikesan positif tinggal sebilik dengan pekerja yang dikesan negatif seperti yang dilaporkan dalam media sosial.
"Saya juga minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan kesediaannya menubuhkan suatu jawatankuasa kerja termasuk kumpulan berkepentingan di bawah kerajaan tempatan bagi memastikan penjarakan fizikal yang secukupnya di asrama pekerja sedia ada,” katanya lagi.
Charles mencadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan itu diberikan kuasa untuk menempatkan pekerja yang dikesan Covid-19 positif di hotel bajet dan asrama kerajaan sekiranya sesuatu penempatan itu tidak memenuhi syarat penjarakan fizikal.
Katanya, langkah sedemikian penting untuk mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan warga tempatan.
"Saya minta Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan kerelaan kerajaan untuk melancarkan projek ‘turn-key’ bagi mempercepatkan proses pembinaan asrama pekerja asing oleh majikan sendiri.
"Adakah kerajaan sudi memberi pelepasan cukai untuk menggalakkan majikan menyertai projek pembinaan asrama pekerja secara 'turn-key'?” Soalnya.
Charles juga meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya menyatakan jumlah pekerja asing berdokumen dan pekerja asing tidak berdokumen yang berada dalam negara ketika ini.
"Adakah kerajaan bersedia untuk memberi amnesty (pengampunan) kepada pekerja asing tidak berdokumen selama enam bulan supaya mereka sudi muncul diri dan membuat ujian saringan serta menerima vaksin?” Soalnya.