BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas dua kontena sotong sejuk beku yang dibawa dari China pada Isnin.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, cubaan membawa masuk barang dagangan berkenaan dikesan ketika pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pemeriksaan menemui 4,500 kotak yang setiap satu seberat 10 kilogram (kg) sotong sejuk beku dan dianggarkan bernilai RM1 juta.
"Semakan dibuat mendapati sotong sejuk beku terbabit tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan Maqis.
"Perbuatan mengimport sotong sejuk beku tanpa permit import yang sah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728]," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Zarina berkata, jika sabit kesalahan pemilik barang dagangan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, Maqis komited melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.